MUKADIMAH
CALON Barisan Nasional (BN) bagi DUN Darau, Joe Arfan, muncul sebagai antara calon termuda dalam persaingan lima penjuru kali ini.
Tidak terikat dengan gaya politik lama, beliau percaya bahawa politik ceramah mega semakin tidak relevan, kerana pengundi khususnya anak muda kini menilai calon melalui kerja, bukan sorakan pentas.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, HAFIZ SAIDINA dan ASLINDA NASIR, beliau mengakui perjalanan politiknya bermula sejak BN kalah pada 2018, namun pengalaman itulah yang membentuk keyakinannya hari ini.
MINGGUAN:Apakah perasaan sebagai calon muda pertama kali bertanding di Darau?
JOE ARFAN: Sudah tentu saya gembira dan anggap ini satu amanah besar. Dalam BN, bukan mudah untuk anak muda diketengahkan kerana parti kita sangat menitikberatkan pengalaman dan senioriti. Tetapi melihat demografi Darau 60 hingga 65 peratus pengundi muda. BN mengambil langkah berani menampilkan calon generasi baharu.
Kami bukan masuk gelanggang untuk mencuba nasib. Kami masuk untuk menang. Jika lihat PRU lalu, kawasan Parlimen Karamunting menunjukkan perubahan undi yang besar kepada BN. Jadi keyakinan itu ada.
Apa tawaran kepada pengundi Darau?
Masalah utama di Sabah termasuk Darau ialah pengangguran. Kita lihat lebih 300 ribu rakyat Sabah menganggur, dan Darau menyumbang kepada angka itu.
Fokus saya jelas memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, memperkasa TVET sebagai laluan masa depan, membuka ruang latihan kemahiran secara lebih meluas serta membantu anak muda memperoleh pendapatan yang lebih kompetitif.
Mengapa pilih kempen turun rumah ke rumah berbanding ceramah?
Sebab ceramah kempen tidak lagi relevan. Kalau kita harap ceramah besar untuk yakinkan pengundi muda, mereka tidak datang pun. Mereka bukan jenis duduk di bawah khemah tiga jam untuk dengar orang politik bercakap.
Jadi pendekatan saya ialah rumah ke rumah. Saya turun setiap lokaliti, jumpa pengundi satu persatu. Anak muda 18 hingga 25 tahun ini ramai yang tidak berparti.
Mereka tidak kenal saya dan tidak kenal calon lain. Kalau orang tidak kenal kita, bagaimana mereka mahu undi kita? Sebab itu saya gunakan tenaga orang muda turun padang tanpa henti.
Bagaimana persaingan calon berpengaruh lain?
Tetapi BN bukan parti kecil. Kami ada rangka kerja, ada jaringan, ada pengalaman mentadbir. Walaupun dua tahun ini BN berada di blok pembangkang di Sabah, kami masih kerajaan di pusat dan tetap menyalurkan bantuan ke Darau, rumah PPRT, keperluan asas, sokongan kebajikan.
Pengundi Darau sendiri kata, mereka mahu berada bersama kerajaan untuk mudahkan pembangunan. Kami bukan datang dengan retorik, kami datang dengan kemampuan.
Keutamaan jika dipilih sebagai ADUN Darau?
Keutamaan ialah ekonomi anak muda, kerana jika pendapatan mereka tidak meningkat, Darau tidak akan mampu bergerak ke hadapan.Selain itu, isu asas seperti jalan, air dan pembangunan kampung tetap menjadi perhatian utama. Darau mungkin tidak besar, tetapi potensinya sangat besar dan apa yang kita perlukan hanyalah wakil rakyat yang bekerja setiap hari, bukan hanya ketika musim kempen.-UTUSAN










