'Lori balak berjalan sampai kiamat' - Utusan Malaysia

‘Lori balak berjalan sampai kiamat’

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Aktiviti pembalakan di beberapa kawasan di negeri ini akan terus berlaku dalam satu tempoh lama susulan kelulusan lesen oleh pimpinan kerajaan negeri terdahulu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu harus diterima walaupun kerajaan sedia ada hari ini tidak pernah memberi kelulusan pembalakan baharu.

“Lori-lori balak itu akan berjalan sampai hari kiamat. Sebabnya kelulusan penebangan balak yang dibuat pimpinan kerajaan negeri terdahulu dianggarkan memerlukan masa sehingga 18 tahun lagi untuk dihabiskan.

“Yang anda nampak kayu balak dibawa keluar hari ini, itu semua berkait dengan kelulusan lama dengan anda sama sekali tidak akan dapat pemandangan tanpa lori balak di atas jalan. ‘Pemandangan’ itu akan ada sepanjang hayat,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Majlis Daerah Sik di sini semalam.

Menurutnya, aktiviti itu harus diterima oleh semua pihak kerana pembalakan yang sedang berlaku adalah sah.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan akan memantau dan menentukan kawasan yang betul-betul boleh dibalak dan yang tidak boleh.

“Antara yang akan diselamatkan ialah kawasan diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan tadahan air. Kawasan-kawasan tersebut memang tidak boleh diusiklah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri tidak sama sekali menentang pembalakan secara semberono seperti dilakukan pihak lain.

“Ada orang kata mereka pencinta alam sekitar. Oleh itu asal tebang balak saja, dia lawan semuanya.

“Dia tak tahu pokok itu apabila sampai umurnya, akan ‘terbalik’ lalu reput dalam hutan dan tidak membawa hasil kepada negeri.

“Jadi sebelum pokok itu ‘terbalik’, Jabatan Perhutanan akan tentukanlah kawasan yang boleh dibalak dan membawa hasil kepada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×