DETIK bersejarah tercipta dalam dunia seni Iran apabila Paniz Faryoussefi muncul sebagai wanita pertama yang memimpin orkestra simfoni Teheran, sekali gus menongkah norma budaya yang selama ini membataskan penyertaan wanita dalam bidang muzik profesional.
Kehidupan profesional serta budaya wanita masih sangat terhad di republik Islam konservatif itu, khususnya dalam hal persembahan di hadapan penonton yang bercampur lelaki dan perempuan.
Wanita, sebagai contoh, tidak dibenarkan menyanyi solo di hadapan lelaki.
Namun, seperti yang dibuktikan oleh Paniz, wanita kini dibenarkan memimpin sebuah orkestra.
“Ketika naik ke pentas, semua mata memandang saya di podium hingga terasa beban tanggungjawab yang besar,” kata wanita berusia 42 tahun itu kepada AFP.
Sebelum ini, protes jalanan besar-besaran menggegarkan Iran selama beberapa bulan selepas kematian seorang wanita muda dalam tahanan pada 2022, yang ditangkap kerana melanggar kod pakaian ketat negara itu.
Selepas gelombang bantahan tersebut, kerajaan melonggarkan beberapa sekatan dan golongan wanita semakin menonjol dalam beberapa aspek kehidupan sosial serta budaya.
Bahkan, sejak perang 12 hari dengan Israel awal tahun ini, rakyat Iran dilihat semakin berani mencabar batasan sosial.
Penganalisis berkata, pihak berkuasa kini menunjukkan lebih banyak toleransi, namun tetap berhati-hati dan sentiasa memantau sebarang isyarat penentangan politik.

ERA BAHARU WANITA IRAN
Dewan Vahdat di Teheran menjadi saksi keterbukaan yang semakin berkembang di negara itu, apabila Pinaz mengambil tempatnya sebagai konduktor filharmonik wanita pertama Iran.
Beliau memimpin 50 ahli orkestra melalui karya Austria, Franz Schubert; komposer Finland, Jean Sibelius serta komposer Soviet-Armenia, Aram Khachaturian.
Beberapa wanita dalam kalangan penonton pada konsert itu dilihat tidak memakai tudung, namun Pinaz masih kekal berhijab seperti diwajibkan undang-undang negaranya.
Penonton turut merasai keterujaan Pinaz, terutama golongan wanita muda yang menyedari mereka sedang menyaksikan detik bersejarah.
“Semoga ini menjadi permulaan era baharu untuk wanita Iran dan mereka memahami tiada apa yang perlu ditakutkan. Itulah satu-satunya jalan menuju kebebasan,” katanya.
Di beberapa bandar di Iran, pemuzik wanita masih tidak dibenarkan membuat persembahan di atas pentas, bahkan mereka tidak menyanyi secara solo di khalayak ramai.
Pinaz dibesarkan dalam keluarga seni, dan ibunya pernah mengimpikan untuk melihat beliau menjadi seorang chef d’orchestre, namun akademi seni persembahan di Iran tidak menawarkan pengajian tersebut.
Beliau pernah mengikuti kelas jangka pendek di Armenia sebelum pulang ke tanah air untuk membina kerjaya, yang kini membuka laluan baharu kepada wanita lain.
“Wanita muda perlu terus berusaha dan mengejar impian mereka,” katanya.

BAKAT DISEKAT
Konsert yang berlangsung selama dua hari itu menarik kehadiran ramai penonton.
“Seorang rakan memberitahu saya, dia melihat kanak-kanak perempuan dalam kalangan penonton sedang meniru pergerakan saya.
“Dia rasa kanak-kanak itu juga sudah mula memasang impian, membayangkan suatu hari nanti boleh mencapai cita-cita yang sama,” katanya.
Seorang penonton, Said Shourabi, 53, teruja dan tersentuh dengan persembahan itu walaupun bukan peminat konsert.
Dia hadir ke konsert tersebut selepas anak perempuannya yang berada di luar bandar membeli tiket dan memaksanya pergi.
“Di Iran, wanita sentiasa disekat dan tidak dapat menunjukkan bakat mereka sepenuhnya, walaupun saya yakin mereka sama hebat dengan lelaki,” katanya.
Jurukecantikan, Fariba Aghai, 44, turut gembira melihat seorang wanita mengetuai konsert orkestra, walaupun terkilan penyanyi wanita masih tidak dibenarkan membuat persembahan atau menerbitkan lagu sendiri.
“Mereka tidak seharusnya merendahkan diri dan perlu sedar mereka mampu melakukan apa sahaja,” katanya.









