Jemparingan di Yogyakarta

Jemparingan di Yogyakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktiviti memanah lazimnya dilakukan dalam posisi berdiri, namun di Yogyakarta, Indonesia pemanah duduk bersila.

Pendekatan ini sekali gus menonjolkan keunikan masyarakat Jawa yang jarang diketahui ramai.

Ia bukan sekadar sukan fizikal, tetapi satu bentuk meditasi dan refleksi diri.

Apatah lagi, posisi bersila itu melambangkan nilai kesederhanaan dan keseimbangan iaitu dua elemen penting dalam budaya Jawa.

Jemparingan berasal dari perkataan jemparing yang bermaksud anak panah manakala busurnya disebut gandewa.

Menariknya, sasaran bukan berbentuk bulat tetapi silinder kecik yang dipanggil wong-wongan atau bandulan.

Saya bersama rakan-rakan berpeluang mencuba aktiviti memanah tradisional Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat ini menerusi program Journey To Wonderful Jogja baru-baru ini.

Pada mulanya, sukar untuk saya menumpukan perhatian kerana selain duduk bersila, tubuh mestilah ditegakkan sambil melihat ke arah sasaran.

Busur disandarkan lembut di depan perut dan anak panah dilepaskan bukan dengan mata, tetapi rasa.

Sasaran yang disebut bandulan itu hanyalah tiang kecil berdiameter tiga sentimeter dengan panjang 30 sentimeter, namun di situlah letaknya ujian sebenar ketenangan dan fokus.

Menerusi jemparingan, kami bukan sekadar mempelajari cara membidik sasaran, tetapi seni mengawal diri meliputi sabar, tekun dan yakin pada gerak hati.

Paling menarik, kesemua peserta menjalankan aktiviti itu sambil menggayakan busana tradisional Jawa.

Tradisi patehan
Sebelum memulakan aktiviti jemparingan, kami dibawa ke sesi minum teh diraja yang dikenali sebagai patehan.

Dahulunya, tradisi ini menjadi rutin harian di Keraton Yogyakarta, dihidang khusus buat Sultan Hamengkubuwono dan keluarga baginda.

Setiap langkah penyediaannya, daripada cara menuang hingga menghidang, dilakukan oleh petugas istana atau abdi dalem dengan penuh tertib dan adab.

Kesemua gerakan itu menjadi simbol ketenangan dan penghormatan dalam budaya Jawa.

Turut dihidangkan beberapa makanan ringan.

Kunjungan ke Desa Wisata Krebet menjadi antara pengalaman manis sepanjang perjalanan ini.

Di sini, kami bukan sekadar memerhati penghasilan pelbagai kraftangan tradisional, tetapi turut berpeluang mencanting topeng kayu dan kraf tangan yang akhirnya menjadi cenderamata untuk dibawa pulang.

Kunjungan diteruskan ke Desa Wisata Gunung Api Purba Nglanggeran dan sebahagian peserta menyahut cabaran mendaki sehingga ke checkpoint pertama bagi menikmati panorama indah yang terbentang dari puncak gunung.

Gunung berapi yang tidak aktif sejak lebih 60 juta tahun lalu ini memiliki keistimewaan tersendiri dari pelbagai sudut.

Ia merangkumi geologi, perhutanan, pertanian dan kebudayaan malah turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada Gunung Sewu UNESCO Global Geopark.

Bagi yang tidak berhasrat mendaki, mereka boleh berkunjung ke kampung berdekatan pintu masuk utama untuk melawat ladang koko.

Di sini, pengunjung dapat melihat proses penghasilan produk berasaskan koko yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Antara pengalaman paling memukau ialah menyaksikan persembahan Ramayana Ballet Prambanan.

Istimewanya, ia dipentaskan di bawah cahaya bulan berlatarbelakangkan keindahan kuil Prambanan yang tersergam indah.

Persembahan tanpa dialog ini mamaparkan suka duka dan cabaran Raja Rama dalam misi menyelamatkan isterinya, Sita yang diculik oleh raja Kerajaan Alengka, Rawana.

 

Lawat candi
Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Yogyakarta tanpa menjejakkan kaki di Candi Borobudur.

Berdiri megah di Magelang, destinasi ini bukan sekadar lambang kebanggaan masyarakat Indonesia, tetapi juga karya agung yang menyimpan kisah beribu tahun lamanya.

Dibina oleh penganut Buddha Mahayana pada era kegemilangan Dinasti Syailendra, pembinaannya dikatakan bermula sekitar 824 Masihi atas inisiatif Raja Samaratungga.

Menariknya, struktur luar biasa ini hanya siap menjelang tahun 900 Masihi ketika zaman pemerintahan puterinya, Ratu Pramudawardhani, hasil sentuhan seni dan kepakaran arkitek legenda, Gunadharma.

Setiap ukiran dan susunan batu di Borobudur melambangkan ketelitian, kesabaran dan kepercayaan mendalam terhadap makna kehidupan.

Antara lokasi bersejarah lain yang dilawati ialah Taman Sari iaitu taman istana milik Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat yang dibina pada era pemerintahan Sultan Hamengkubuwono I antara tahun 1758 hingga 1765.

Dahulu, taman diraja ini berfungsi sebagai tempat berehat dan meditasi sultan serta keluarganya, dengan dilengkapi kolam mandi, menara pandang dan terowong rahsia yang menghubungkan kawasan istana.

Walaupun sebahagian besar kawasannya musnah dek zaman namun struktur di barat daya kompleks Kedhaton tetap memukau dengan seni bina Jawa klasik serta seikit sentuhan Portugis dan Belanda.

Empat malam di Yogyakarta terasa terlalu cepat berlalu, namun setiap detik di kota ini mengingatkan saya kepada makna sebenar perjalanan.

Destinasi pilihan rakyat Malaysia
Peningkatan warga Malaysia ke Yogyakarta membuktikan usaha promosi pelancongan antara dua negara terus membuahkan hasil.
Kepala Dinas Pariwisata DIY, Drs. Imam Pratanadi berkata, sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, seramai 21,600 pelancong Malaysia berkunjung ke Yogyakarta.

“Kota ini mula popular selepas pandemik Covid-19 dan saya merasakan rakyat Malaysia amat sukakan keindahan semula jadi di sini.

“Kita turut memahami kehendak pelancong terutama dari Malaysia yang gemarkan nature, destinasi bersejarah dan menyertai aktiviti mencabar, bukannya taman tema.

“Kita berusaha memenuhi keinginan itu dengan merancakkan pelbagai aktiviti bersesuaian bagi menarik lebih ramai orang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi makan malam sempena Journey To Wonderful Jogja anjuran Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang di Yogyakarta baru-baru ini.

Pihaknya optimis jumlah pelancong dari Malaysia akan terus meningkat pada tahun depan, seiring dengan pelbagai usaha promosi serta kemudahan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Yogyakarta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×