Tambah caruman sukarela boleh jana pendapatan KWSP

Tambah caruman sukarela boleh jana pendapatan KWSP

Laporan Utusan Malaysia, 20 November 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sukarela adalah satu potensi yang mampu membawa kesan besar sekiranya berjaya dilaksanakan secara meluas.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Taylor’s Business School, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, Malaysia kini mempunyai sekitar 16.5 juta pekerja, namun hanya separuh daripadanya benar-benar aktif mencarum KWSP.

Di sebalik angka itu, katanya, ada lebih lapan juta pekerja yang tidak menyumbang secara konsisten dalam tabung persaraan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya hanya empat juta daripada kumpulan tersebut, iaitu kira-kira separuh mula membuat caruman sukarela RM1,800 setahun, ia sudah cukup untuk memberi KWSP suntikan dana baharu sekitar RM7 hingga RM8 bilion setiap tahun. Jumlah itu bersamaan angka lazim yang diterima melalui skim i-Saraan dan caruman sendiri.

“Walaupun tambahan dana sebesar itu kelihatan kecil berbanding saiz keseluruhan KWSP yang kini mencecah RM1.2 trilion, implikasinya tetap besar daripada sudut jangka panjang.

“Suntikan modal yang konsisten akan mengukuhkan asas pelaburan KWSP serta memberi ruang kepada agensi itu merancang portfolio yang lebih mampan demi kepentingan pencarum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan cadangan supaya pekerja menambah caruman KWSP antara tiga hingga lima peratus susulan prestasi positif dana persaraan itu. Berdasarkan prestasi semasa, KWSP menawarkan pulangan stabil dengan risiko lebih rendah berbanding pelaburan kendiri seperti unit amanah atau saham.

Mengulas potensi pulangan, Paul Anthony berkata, purata pulangan pelaburan tahunan KWSP sekitar lima hingga enam peratus.

Jelasnya, dengan tambahan RM7 hingga RM8 bilion setahun, KWSP berupaya menjana kira-kira RM350 hingga RM450 juta pendapatan pelaburan tambahan.

“Namun, kerana dana itu terlalu besar, kesannya terhadap dividen hanya sekitar 0.03 mata peratusan iaitu peningkatan yang sangat kecil,” katanya.

Beliau berkata, KWSP memang mempunyai ruang untuk salurkan lebih banyak pelaburan ke sektor yang memberi manfaat langsung kepada rakyat seperti perumahan mampu milik, projek tenaga boleh baharu, kemudahan kesihatan, infrastruktur digital dan industri domestik.

Jelasnya, sektor-sektor itu bukan sahaja tawarkan pulangan stabil jangka panjang, malah memberi manfaat sosial yang lebih luas.

“KWSP memang sudah aktif melabur dalam infrastruktur dan pembangunan negara. Caruman sukarela tambahan hanya akan memperkukuh kemampuan KWSP untuk mengembangkan usaha ini, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan profil pulangan jangka panjang dana,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pelaburan tambahan tidak semestinya menjamin dividen lebih tinggi pada masa depan. Ini kerana, kadar dividen banyak dipengaruhi faktor luar seperti prestasi pasaran global, kitaran kadar faedah, hasil bon dan turun naik mata wang.

“Dividen mencerminkan pulangan keseluruhan portfolio, bukan semata-mata jumlah caruman baharu atau nilai sosial sesuatu projek. Tambahan modal memang menjadikan KWSP lebih kukuh, tetapi tidak mampu menjamin dividen yang sentiasa meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN