KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia giat membangunkan sektor pekerjaan dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan rakyat Malaysia terhadap pekerjaan di luar negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, rangka kerja komprehensif yang dilaksanakan bertujuan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi di dalam negara.
Katanya, inisiatif itu khusus untuk menarik semula tenaga kerja mahir Malaysia yang sebelum ini bekerja di Singapura, Australia dan Korea Selatan.
“Melalui program Knowledge Worker khusus di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, diaspora Malaysia yang kembali bekerja dalam sektor berkemahiran tinggi di kawasan tersebut layak menikmati kadar cukai rata 15 peratus selama 10 tahun.
“Ini adalah langkah strategik untuk menjadikan ekosistem kerja domestik lebih kompetitif berbanding negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkaitan pendekatan yang diambil dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara bagi mengelakkan migrasi pekerja tempatan.
Tambahnya, TalentCorp juga menubuhkan 18 institusi latihan berfokus industri, melalui tinjauan permintaan bakat yang dijalankan bersama industri selain pelaburan berjumlah RM378.5 bilion, merangkumi 6,700 projek dan dijangka menjana lebih 200,000 pekerjaan baharu. – UTUSAN










