BERA: Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda negara mendorong penduduk di sepanjang Sungai Pahang melakukan persiapan awal bagi memastikan keselamatan nyawa, harta benda dan perusahaan ternakan ikan patin yang dijangka terjejas sehingga Mac tahun depan.
Dari Kampung Ulu Tembeling menghilir Sungai Pahang sehingga Kuala Tahan, Jerantut, terus ke Temerloh, Bera dan akhirnya Pekan, penduduk giat mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.
Ketua Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Hamdan Ali, 58, berkata, penduduk melakukan persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir seperti memindahkan barangan berharga ke lokasi lebih selamat bagi mengelakkan kerugian sekiranya berlaku limpahan air.
Katanya, ada penduduk yang membina komponen tambahan pada rumah dan kedai makan menggunakan tong dram sebagai pelampung.
“Usaha ini dilakukan bagi menambah ketahanan struktur bangunan serta memastikan keselamatan keluarga dan harta benda lebih terjamin,” katanya.
Pengusaha ternakan ikan patin sangkar dari Kampung Mentenang, Maran, Mat Piah Jusoh, 67, berkata, arus deras Sungai Pahang sering menjadi cabaran utama dalam usaha menjaga kelangsungan ternakan.
Menurutnya, keadaan sungai yang berubah-ubah, terutama ketika musim hujan boleh menjejaskan struktur sangkar serta menimbulkan risiko kepada keselamatan ikan yang diternak.
“Penjagaan rapi dan pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan sangkar tidak rosak atau hanyut dibawa arus.
Selain itu, pengusaha perlu melabur dalam sistem sangkar yang lebih kukuh serta mengatur strategi pengurusan ternakan agar hasil dapat dikekalkan walaupun berdepan cabaran alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri menghantar bekalan keperluan bencana ke 167 pangkalan hadapan di 11 daerah secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi banjir ekoran MTL.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, setiap pangkalan hadapan dilengkapi barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam, sardin dan biskut.-UTUSAN.










