Gantung lesen, permit syarikat kenderaan berat ulangi kesalahan

Gantung lesen, permit syarikat kenderaan berat ulangi kesalahan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaedah pe­nguatkuasaan baharu akan di­perkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan penggantungan lesen dan permit terhadap syarikat yang didapati berulang kali me­lakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Bagi melaksanakan kaedah penguatkuasaan ‘three strikes out’ itu, Kementerian Pengangkutan dan JPJ sedang mening­katkan operasi bersepadu di enam zon utama iaitu utara, tengah, selatan, timur serta Sabah dan Sarawak bagi menangani isu kenderaan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara langkah lain dikuatkuasakan penggunaan tek­nologi Timbang Automatik Weigh-in-Motion (HS-WIM) akan dipertingkatkan dan pemeriksaan muatan telah diwajibkan di pintu masuk pelabuhan bermula 1 Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemala­ngan maut, memelihara inte­griti jalan raya serta infrastruktur negara, dan membina budaya pematuhan kepada undang-undang.

“Selain itu, kerajaan kini menguatkuasakan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) secara berfasa ke atas kende­raan perdagangan bermula 1 Oktober.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan lori dan bas mematuhi had kelajuan dan seterusnya mengurangkan risiko kemala­ngan maut akibat pemanduan melebihi had laju,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pendedahan Utusan Malaysia pada 25 September lalu turut membongkar taktik sesetengah pemilik barangan yang menentukan berat muatan tanpa menghiraukan had dibenarkan, malah wartawan akhbar ini yang menyamar sebagai kelindan lori mendapati prosedur operasi di tapak pengisian dikawal sepenuhnya oleh pihak pemilik barangan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua inisiatif tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) yang dipengerusikannya semalam.

Katanya, ketika ini, negara sedang berdepan dua cabaran besar dalam sektor pengangkutan iaitu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing dan kadar kemalangan jalan raya yang masih tinggi.

“Bagi tempoh Januari sehingga 30 September, sebanyak 4,875 kematian akibat nahas jalan raya telah direkodkan de­ngan purata 18 nyawa terkorban setiap hari.

“Angka ini meningkat berbanding tahun 2024 yang merekodkan purata 17 kematian setiap hari. Lebih 67 peratus daripada jumlah tersebut melibatkan penunggang motosikal,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, gabu­ngan penguatkuasaan tegas dan insentif diperkenalkan diyakini dapat meningkatkan disiplin pemandu serta menurunkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah penting, termasuk penambahbaikan saringan kesihatan pemandu kenderaan perdaga­ngan dan Pelan Hala Tuju Intelligent Traffic System (ITS) Malaysia 2030.

“Pelan ini akan menyokong agenda nasional ke arah sistem pengangkutan yang lebih pintar, selamat, cekap dan mampan.

“Keselamatan jalan raya me­rupakan tanggungjawab ber­sama. Penyelesaian kepada isu kesesakan dan keselamatan tidak boleh diletakkan pada satu agensi sahaja. Ia menuntut koordinasi antara kementerian, dasar berasaskan data serta keberanian membuat keputusan demi kelangsungan sistem pe­ngangkutan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN