Operasi cari mangsa bot karam ditamatkan

Operasi cari mangsa bot karam ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar ditamatkan setelah sembilan hari dilaksanakan sejak 9 November lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pencarian meliputi 1,745.88 batu nautika persegi yang melibatkan 300 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

“Operasi ditamatkan pada pukul 6.30 petang ini selepas penilaian akhir mendapati tiada petunjuk baharu selain faktor cuaca dan risiko, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) carilamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujar Zainudin, seramai 43 mangsa berjaya ditemui setakat pukul 12 tengah hari ini, terdiri daripada 14 mangsa terselamat iaitu 12 lelaki dan dua wanita.

“Mangsa yang ditemukan maut pula seramai 29 orang merangkumi 15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya.

Beliau berkata, penemuan mangsa sepanjang operasi direkodkan di beberapa lokasi sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai.

Katanya, Maritim Malaysia mengoptimumkan segala keupayaan dan aset bagi memastikan setiap sektor pencarian diliputi sepenuhnya.

Dalam tragedi pada 6 November lalu, sebuah bot yang dikatakan membawa 70 migran termasuk etnik Rohingya karam berhampiran Pulau Tarutao di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Mereka dipercayai dipindahkan ke bot berkenaan daripada kapal induk yang dianggarkan membawa 300 penumpang dari Buthidaung, Myanmar untuk menuju ke negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN