Usianya baru menjangkau 23 tahun, namun semangat dan daya juang yang dimiliki Sarah Annisa Zainuddin jauh melangkaui usia sebenar.
Bermula hanya dengan menjual pakaian terpakai (bundle) iaitu Cilikstoree secara dalam talian, kini anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini dikenali sebagai antara usahawan muda yang berjaya mencipta jenama sendiri dan menjana pendapatan puluhan ribu ringgit dalam satu malam.
“Saya mula dengan menjual sweatshirt sepuluh ringgit sahaja, selepas itu saya beranikan diri buka jualan secara langsung di media sosial, tidak sangka pelanggan sanggup bida sampai ribuan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hasil daripada usahanya, Sarah Annisa kini mampu membantu keluarga.
Anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini berjaya membeli pelbagai kelengkapan rumah, menanggung perbelanjaan ibu bapa serta menyara adik-beradik yang masih belajar.
Baginya, setiap sen yang diperoleh bukan sekadar hasil jualan semata-mata, tetapi simbol pengorbanan, doa dan kepercayaan keluarga terhadap dirinya.
“Saya buat semua ini sebab keluarga. Mereka sumber kekuatan saya sejak awal,” katanya.

Dari bundle ke jenama sendiri
Dunia perniagaan tidak seindah yang disangka.
Pada awalnya, dia sering menerima cemuhan daripada segelintir penonton sewaktu membuat siaran langsung.
Ada yang mempertikai harga barangan jualannya, ada juga yang melemparkan kata-kata kurang menyenangkan. Namun, gadis ini tidak cepat melatah.
“Saya cuba jelaskan kepada penonton, barang bundle bukan keperluan asas seperti beras atau minyak yang ada kawalan harga, ia kehendak. Selagi pelanggan sanggup bayar, tidak ada salahnya kita berniaga,” katanya.
Berbekalkan semangat ingin maju dan keinginan untuk mendidik komuniti penggemar barangan terpakai, Sarah Annisa perlahan-lahan membina keyakinan pelanggan.
Dia mula meneroka hingga ke luar negara untuk mencari pakaian terpakai.
“Saya pernah ke Jepun untuk servis pembelian peribadi bersama kakak. Ada pelanggan sanggup beli kasut berjenama dengan harga lebih enam ribu dan kami ambil sedikit komisen daripada situ,” katanya.
Setelah beberapa tahun menimba pengalaman dalam dunia bundle, Sarah berani melangkah lebih jauh.
Dia memperkenalkan jenama tempatan sendiri iaitu CLK Goods yang menampilkan rekaan jersi dan pakaian jalanan (streetwear) moden.
“Pada permulaan saya mengeluarkan 100 helai sahaja, namun tidak sangka lima minit sahaja sudah habis ditempah. Malam itu, Alhamdulillah jualan mencecah RM30,000” kongsinya.
Antara pelajaran dan perniagaan
Di sebalik kejayaan yang kelihatan mudah di media sosial, kehidupan sebenar gadis ini penuh dengan pengorbanan.
Ketika rakan seusianya sibuk melepak atau berehat selepas kelas, Sarah Annisa memilih memanfaatkan masa lapangnya dengan berniaga.
“Saya jarang sangat keluar lepak, jika ada kawan yang pelawa untuk keluar bersama, saya akan tolak secara baik kerana lebih mendahulukan perniagaan,” katanya.
Mengurus pelajaran dan perniagaan serentak bukan mudah, namun Sarah Annisa bijak membahagikan masa.
Ketika diploma, dia berniaga dari rumah memandangkan kelas dijalankan secara dalam talian.
Namun, apabila menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Shah Alam, cabaran semakin besar kerana perlu menghadiri kelas bersemuka.
“Kadang-kadang apabila kelas batal saya rasa sangat rugi, kerana masa untuk saya gunakan dari rumah ke kelas boleh saya guna untuk kerja. Tetapi, saya tetap teruskan sebab tahu pelajaran juga penting,” katanya.
Kini, sambil menjalani latihan industri, Sarah Annisa masih memastikan perniagaanya terus hidup walaupun sedikit perlahan.
“Disebabkan saya mengurus semuanya sendiri daripada idea kempen, papan cerita, bajet sampai catat untung rugi , jadi susah untuk menguruskan perniagaan kini kerana tidak mempunyai staf tetap,” katanya.
Impian besar
Bagi Sarah Annisa, kejayaan bukan sekadar angka, tetapi keberanian untuk terus melangkah walaupun tanpa jaminan.
Sejak awal, dia sudah biasa berdikari tanpa bantuan kewangan daripada keluarga.
“Saya tahu kalau saya gagal, habislah semua usaha saya selama lima tahun ni. Jadi, saya kena terus buat yang terbaik, saya tidak boleh gagal,” katanya.
Hasratnya kini untuk memiliki kedai fizikal dan pejabat sendiri.
Dia mahukan tempat yang lebih tersusun bagi menjalankan semua urusan niaga dan mencipta kandungan media sosial.
“Sekarang rumah makin sempit dengan stok barang niaga. Harap satu hari nanti ada kedai sendiri, boleh urus semuanya lebih teratur dan profesional,” katanya.
Bagi wanita muda yang ingin menceburi dunia perniagaan, katanya, keberanian dan niat yang betul adalah kunci segalanya.
“Saya rasa tidak ada beza pun lelaki dengan perempuan. Jadi, jangan rasa kurang. Kalau niat baik dan usaha sungguh-sungguh, Allah akan permudahkan,” katanya.-UTUSAN










