PERKEMBANGAN pesat dunia digital menjadikan teknologi elemen penting dalam sistem pendidikan global, termasuk di Malaysia.
Pengintegrasian komputer riba, tablet, aplikasi pendidikan dan platform pembelajaran dalam talian mengubah bilik darjah tradisional kepada ruang pembelajaran maya yang lebih interaktif. Seiring aspirasi pendidikan abad ke-21, teknologi menyokong kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti dan pembelajaran kendiri yang semakin diperlukan oleh generasi hari ini.
Melalui penggunaan multimedia seperti video, animasi, simulasi dan gamifikasi, guru kini mampu menyampaikan pelajaran dengan lebih menarik. Pelajar yang mudah bosan dengan kaedah konvensional mendapat peluang untuk meneroka ilmu secara lebih visual dan praktikal.
Eksperimen sains boleh diterokai secara maya tanpa kehadiran fizikal di makmal, manakala subjek sejarah menjadi lebih hidup melalui teknologi realiti maya yang membolehkan pelajar menjelajah lokasi penting secara interaktif.
Pengurusan nota dan tugasan juga dipermudahkan apabila bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dimuat naik dalam talian, membolehkan pelajar mengaksesnya pada bila-bila masa mengikut kelajuan pembelajaran masing-masing.
Namun, penggunaan teknologi tanpa kawalan turut membawa risiko baharu. Pelajar cenderung meniru jawapan daripada internet tanpa menilai kesahihannya, sekali gus melemahkan daya fikir dan meningkatkan kes kes plagiarisme.
Ketagihan gajet pula mengalih tumpuan pelajar kepada media sosial atau permainan dalam talian ketika sesi pembelajaran berlangsung. Hal ini bukan sahaja menjejaskan tumpuan, malah boleh membuka ruang kepada pendedahan terhadap maklumat palsu dan kandungan tidak bermoral.
Dalam jangka masa panjang, interaksi berlebihan di alam maya juga boleh menyebabkan pelajar hilang kemahiran sosial serta kurang yakin berkomunikasi secara bersemuka. Guru pula berdepan cabaran memantau tingkah laku pelajar dalam kelas maya, terutama apabila ada yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyiapkan tugasan tanpa memahami isi pelajaran.
Oleh itu, pendidikan digital perlu dibangunkan secara seimbang. Literasi teknologi merangkumi etika penggunaan, keselamatan siber dan disiplin kendiri harus diperkuat melalui kerjasama antara guru, ibu bapa dan pihak sekolah.
Guru sebagai pemudah cara perlu diberi latihan profesional berterusan agar mampu membimbing pelajar menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), teknologi harus dilihat sebagai alat memperkasa ilmu, agar generasi muda kekal seimbang antara kemajuan digital dan nilai kemanusiaan.-UTUSAN
NOR AZIRAH A. R.
SMK Dengkil, Selangor











