PERSIDANGAN ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober lalu bukan sekadar acara diplomatik tetapi lambang kesatuan iltizam negara anggota dalam memperkukuh agenda serantau yang berpaksikan nilai inklusiviti dan kelestarian.
Pembangunan sosial mampan tidak boleh hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang memastikan kesejahteraan komuniti, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita dan masyarakat minoriti.
Dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaksamaan sosial dan eksploitasi rentas sempadan, kerjasama erat antara negara anggota bukan sahaja strategi bijak tetapi juga tanggungjawab moral.
Penyertaan Timor Leste sebagai anggota baharu ASEAN menandakan perkembangan penting ke arah memperkukuh jaringan sokongan serantau. Negara-negara anggota wajar membantu Timor Leste membangunkan dasar sosial yang inklusif dan lestari melalui perkongsian amalan terbaik, menjadikan hubungan serantau lebih seimbang dan saling melengkapi.
Beberapa langkah strategik perlu diberi tumpuan. Pertama, memperkukuh sistem sokongan sosial dengan membina rangka kerja komuniti yang benar-benar inklusif. Program sosial perlu menyasar keperluan asas sambil membina daya tahan jangka panjang.
Kedua, pendidikan dan pemberdayaan ekonomi mesti diperkasa bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran yang menggalakkan mobiliti sosial adil.
Ketiga, kerjasama rentas sempadan perlu dipertingkat untuk menangani isu kompleks seperti eksploitasi buruh, perdagangan manusia, jenayah terancang dan kesihatan mental. Mekanisme perkongsian maklumat serta amalan terbaik harus diperkukuh, melibatkan pelbagai pihak termasuk masyarakat sivil dan rakan antarabangsa.
Negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand pula mempunyai tanggungjawab sebagai mentor serantau. Pengalaman mereka dalam membina sistem pendidikan inklusif dan dasar perlindungan sosial boleh dijadikan rujukan bagi memperkukuh komuniti ASEAN.
Tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’ mencerminkan aspirasi kemajuan ekonomi mesti diiringi keadilan sosial dan penjagaan alam sekitar. ASEAN tidak boleh sekadar menjadi blok ekonomi berjaya tetapi harus muncul sebagai komuniti yang prihatin terhadap manusia dan masa hadapan bersama.
Dengan komitmen ikhlas dan tindakan kolektif, ASEAN mampu menjadi model pembangunan sosial mampan yang memberi inspirasi kepada dunia.-UTUSAN
DR. SABRI SULAIMAN
Pensyarah Kanan
Jabatan Antropologi dan Sosiologi,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya










