ERA globalisasi mengubah landskap sosial Malaysia dengan ketara, termasuk kehidupan warga emas yang kini berdepan cabaran baharu akibat perubahan gaya hidup, teknologi dan struktur kekeluargaan.
Namun, di sebalik naratif lazim yang menggambarkan warga emas sebagai kelompok kesepian dan kemurungan, wujud potensi besar yang sering diabaikan iaitu kekuatan komunikasi intim sebagai pemangkin kesejahteraan psikologi dan sosial.
Masyarakat sering melihat warga emas sebagai penerima bantuan yang pasif dan perlu dikasihani. Pandangan ini bukan sahaja menurunkan martabat mereka tetapi juga menghalang usaha pemberdayaan sebenar.
Kajian membuktikan warga emas yang menerima sokongan emosi mencukupi mengalami penurunan kognitif 20 peratus lebih rendah berbanding mereka yang hidup terasing. Maka, komunikasi intim harus dilihat bukan sekadar perbualan ringan tetapi sebagai proses terapeutik yang mengembalikan makna dan maruah dalam kehidupan mereka.
Dari perspektif komunikasi, interaksi intim melibatkan pertukaran makna yang mendalam dan empati tinggi. Warga emas membawa naratif pengalaman hidup yang kaya, namun sering kali sistem komunikasi konvensional gagal menghargai kedalaman cerita mereka.
Komunikasi intim menuntut kesabaran, rasa hormat dan keikhlasan mendengar. Ia bukan sahaja menjadi saluran emosi tetapi juga ruang validasi diri di mana warga emas dapat berkongsi aspirasi, pandangan dan kebijaksanaan yang masih relevan.
Pendekatan komunikasi intim seharusnya beralih daripada model defisit kepada model kekuatan. Apabila warga emas diberi peluang untuk berkongsi kisah hidup dan pandangan, mereka bukan sekadar melepaskan tekanan emosi tetapi juga memperkukuh identiti diri serta membina ketahanan mental.
Proses ini terbukti dapat mengurangkan kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan menyeluruh, menjadikan mereka individu yang lebih positif dan berdaya tahan menghadapi cabaran usia lanjut.
Lebih menarik, komunikasi intim kini tidak lagi terbatas kepada pertemuan bersemuka. Warga emas semakin adaptif terhadap teknologi digital. Ramai yang menggunakan WhatsApp, panggilan video dan media sosial untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan.
Ini sekali gus menolak persepsi teknologi menjadi penghalang hubungan mesra. Sebaliknya, teknologi boleh berfungsi sebagai jambatan komunikasi intim yang baharu.
Pengalaman pandemik Covid-19 menjadi bukti nyata tentang keupayaan warga emas menyesuaikan diri dengan krisis. Ketika dunia terkurung dalam norma baharu, ramai warga emas menunjukkan keupayaan bertahan yang luar biasa melalui strategi komunikasi dan sokongan sosial.
Pengalaman ini harus dijadikan asas untuk membina model komunikasi yang lebih inovatif, mampan dan berpusatkan manusia.
Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, komunikasi intim perlu dijadikan sebahagian daripada ekosistem sokongan sosial yang tersusun. Ahli keluarga, penjaga dan pekerja sosial perlu dilatih dengan kemahiran komunikasi berempati yang menekankan penghargaan terhadap potensi warga emas, bukan sekadar belas kasihan.
Program seumpama ini harus direka berasaskan prinsip pemberdayaan, di mana warga emas menjadi rakan kongsi aktif dalam proses merancang intervensi sosial yang melibatkan mereka.
Malaysia, yang dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030, perlu menilai semula pendekatan terhadap isu penuaan.
Komunikasi intim tidak wajar dianggap sebagai langkah rawatan sementara tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina masyarakat penyayang yang menghormati pengalaman generasi terdahulu.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan & Kreatif, Sixtysix Action Academy











