PETALING JAYA: Bursa Malaysia terus mengukuh dan dijangka mencapai sekitar 1,640 mata menjelang hujung tahun ini, didorong oleh keyakinan pelabur terhadap pemulihan ekonomi domestik dan aliran masuk pelaburan asing (FDI).
Pada 5 petang semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.76 mata kepada 1,627.45, berbanding 1625.36 pada penutup Jumaat.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,627.47.
Jumlah dagangan sebanyak 3.77 bilion unit bernilai RM2.47 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 604 berbanding 482 dengan 559 kaunter tidak berubah dan 1,093 tidak diniagakan.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemulihan Bursa Malaysia mencerminkan sentimen keyakinan pelabur tempatan dan juga pelabur asing atas beberapa faktor dalaman dan luaran.
Katanya, faktor utama mendorong perkembangan ini termasuk pengekalan status penarafan kredit berdaulat Malaysia serta kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang memeterai pelbagai perjanjian perdagangan dengan blok ekonomi dan negara dagang selain ASEAN.
Menurutnya, turut memacu pengukuhan pasaran saham adalah prospek pertumbuhan ekonomi tempatan yang kekal positif tahun ini dan tahun hadapan, pembentangan Belanjawan 2026 yang akan mencerminkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan pengukuhan mata wang negara.
“Pengukuhan ringgit akan menarik pelaburan asing untuk melabur ke Malaysia kerana jika ini berterusan, pelabur asing akan mendapat pulangan atas pelaburan yang lebih tinggi dari jangkaan sebelum ini
“Sektor perbankan dan utiliti akan kekal menjadi pemacu utama, di samping sektor teknologi dan pengguna terus berkembang.
“FBM KLCI dijangka sekitar berada sekitar paras 1,640 pada hujung tahun ini, manakala ringgit mungkin sekitar RM4.10 hingga RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, TA Securities dalam ulasan pasaran harian berkata, FBM KLCI dijangka kekal berada di bawah tekanan dan meneruskan pergerakan mendatar pada minggu ini, susulan petunjuk teknikal yang menunjukkan kelemahan berterusan pada carta harian dan mingguan.
“Aktiviti pasaran dijangka kekal sederhana, dengan pelabur berhati-hati membuat penyesuaian semula sebelum siri pengumuman keputusan kewangan daripada beberapa syarikat tempatan utama.
“Dari sudut luaran, jangkaan yang semakin pudar terhadap potongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember, ditambah pula dengan kebimbangan berterusan mengenai penilaian tinggi dalam sektor berkaitan kecerdasan buatan (AI), dijangka terus menekan sentimen serantau dan menambah nada berhati-hati,” jelasnya. – UTUSAN










