Australia tolak tawaran jadi tuan rumah bersama COP31 dengan Turkiye

Australia tolak tawaran jadi tuan rumah bersama COP31 dengan Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia menolak tawaran Turkiye untuk menjadi tuan rumah bersama Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) tahun depan, ketika persaingan mereka mengganggu rundingan semasa di Brazil.

Canberra dan Ankara berada di bawah tekanan untuk mengelakkan kekecohan di Belem, di mana Brazil berusaha menunjukkan diplomasi iklim masih berfungsi.

Tuan rumah mesti dipilih secara konsensus, jadi kecuali Australia atau Turkiye menarik diri daripada bidaan atau mencapai persetujuan untuk berkongsi tanggungjawab, kedua-dua negara akan terlepas peluang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan itu akan menjadi sesuatu yang belum pernah berlaku dan hak penganjuran COP31 akan secara automatik diberikan kepada Jerman.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada Isnin dengan tegas menolak cadangan untuk menjadi tuan rumah bersama Turkiye.

“Itu bukan satu pilihan dan orang ramai tahu ia bukan satu pilihan, kerana itulah ia diketepikan,” katanya.

Sumber diplomatik Turkiye memberitahu AFP hujung minggu lalu, Ankara masih menyokong model kepresidenan bersama tetapi bersedia bertindak sendiri sekiranya konsensus tidak dicapai.

Australia membida untuk menjadi tuan rumah persidangan di bandar selatan Adelaide bersama negara-negara Kepulauan Pasifik, dengan harapan menyorot kawasan dunia yang terjejas teruk oleh kesan perubahan iklim.

Pemimpin Kepulauan Pasifik lama menegur sidang COP kerana mengecilkan suara mereka atau hanya menawarkan penyelesaian praktikal yang terhad.

Australia, dengan flora dan faunanya yang luas juga sangat terdedah kepada perubahan iklim.

Namun, tanggungjawab menjadi tuan rumah juga akan menarik perhatian terhadap rekod hijau Australia.

Negara pengeksport arang batu kedua terbesar dunia ini lama menikmati keuntungan daripada eksport bahan api fosil dan menganggap tindakan iklim sebagai liabiliti politik dan ekonomi.

Perang iklim Australia melibatkan pertarungan domestik bertahun-tahun mengenai polisi pelepasan melambatkan kemajuan dan negara ini masih bergantung kepada ekonomi bahan api fosil untuk pertumbuhan.

Jika Australia berjaya dalam bidaan COP, ia akan menjadi kali pertama rantau Pasifik menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan itu.

Turkiye pula mahu COP31 memberi tumpuan kepada kawasan paling terdedah di dunia, dengan kemungkinan sesi khas mengenai isu-isu Pasifik, tambah sumber diplomatik itu.

Brazil melantik wakil untuk membantu menyelesaikan pertikaian antara Australia dan Turkiye.

Namun, diplomat berkata, tiada kemajuan dicapai setakat ini dalam mencapai persetujuan sebelum COP30 tamat pada 21 November.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×