Miss Universe pentas Nadeen Ayoub bawa suara Palestin

Miss Universe pentas Nadeen Ayoub bawa suara Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENGGAN menggambarkan Palestin hanya dari sudut konflik, Nadeen Ayoub melangkah ke pentas Miss Universe 2025 dengan tekad menonjolkan sisi lain mengenai budaya dan rakyat negara itu.

Wanita berusia 29 tahun itu melihat peranannya mewakili Palestin dalam Miss Universe bukan sekadar perlumbaan ratu cantik, tetapi juga platform untuk memperlihatkan identiti, ketabahan dan aspirasi rakyat negaranya.

“Rakyat Palestin juga kanak-kanak yang berhak hidup, wanita yang mempunyai impian dan aspirasi.

“Kami lebih daripada perjuangan dan penderitaan,” kata Nadeen kepada AFP ketika ditemu bual di Dubai baru-baru ini, menjelang persiapan Miss Universe di Thailand pada November.

Walaupun dilahirkan di Amerika Syarikat (AS), Nadeen menghabiskan zaman kanak-kanaknya di antara Ramallah di Tebing Barat dan AS.

Kedua ibu bapanya masing-masing dilahirkan di Nablus dan Hebron di Tebing Barat yang diduduki.

Semasa remaja, keluarga Nadeen berpindah ke Kanada, di mana beliau sempat menamatkan sekolah menengah dan kolej sebelum kembali ke Ramallah.

Beliau kini tinggal antara Ramallah, Amman dan Dubai.

Beliau kini menubuhkan sebuah organisasi yang melatih pencipta kandungan dalam bidang kelestarian serta kecerdasan buatan (AI).

Selepas memperoleh ijazah dalam bidang sastera Inggeris dan psikologi, Nadeen mengajar serta bekerja dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di wilayah yang diduduki.

“Ibu bapa saya kedua-duanya merupakan ahli akademik dan mereka sentiasa menasihati saya untuk menumpukan pengajian universiti,” kata Nadeen.

BERMULA MODEL FESYEN

Selepas menjadi model dalam satu pertunjukan fesyen di Itali, individu yang bekerja dalam industri itu menggalakkannya untuk menyertai pertandingan ratu cantik.

Bertitik tolak daripada situ, beliau melancarkan francais Miss Palestin dengan penampilan besar pertamanya di pertandingan Miss Earth 2022 dan tersenarai dalam lima finalis.

Beliau sepatutnya bertanding dalam Miss Universe sebelum ini, tetapi menunda penampilan pertamanya kerana peperangan di Gaza.

Kini, Nadeen bertekad melangkah ke Miss Universe 2025 untuk menonjolkan budaya, warisan dan aspirasi rakyat Palestin, lebih daripada sekadar isu peperangan.

“Perkara semudah menubuhkan organisasi (Miss Palestin) pun sukar dilakukan,” katanya walaupun ia perkara biasa di negara lain.

Antara cabaran utama adalah rakyat Palestin terpisah antara Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur, manakala ramai menjadi pelarian di negara jiran, tinggal di luar negara atau di Israel.

Walaupun diiktiraf oleh majoriti negara, sesetengah daripadanya masih tidak mengiktiraf negara Palestin, menjadikan penyertaan di pentas dunia sebagai satu bentuk tindakan berani bagi Nadeen.

“(Palestin) adalah sebuah negara, ia merupakan sebuah bangsa, saya akan mewakili sebuah negara sebenar,” ujarnya.
Kekecewaan Barat terhadap tindakan Israel di Gaza mendorong beberapa negara, termasuk Britain dan Perancis, untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin pada September lalu.

PELUANG UNTUK BERSUARA

Pada 2022, pertandingan Miss Palestin pertama diadakan secara dalam talian supaya rakyat Palestin yang tinggal di luar negara, di Israel dan di wilayah Palestin dapat turut serta.

Nadeen berkata, beliau akan mengambil sebarang peluang untuk bersuara bagi rakyatnya.

“Kita mesti hadir di setiap pentas antarabangsa. Setiap peluang yang kita ada untuk bercakap tentang Palestin, untuk menunjukkan Palestin, kita mesti ambil,” katanya.

Bagi Nadeen, mewakili tanah airnya sebagai Miss Palestin merupakan tanggungjawab besar.

Menyaksikan kemusnahan di Gaza sepanjang dua tahun lalu amat memilukan baginya, terutama melihat penderitaan kanak-kanak.

“Saya teringat diri saya ketika kecil dengan semua impian, harapan dan cinta terhadap kehidupan. Dan ia juga tidak jauh beza dengan mereka,” katanya.

Beliau juga berpandangan Miss Universe adalah platform yang mengiktiraf wanita, bukan sahaja daripada segi kecantikan fizikal, tetapi juga menghargai kerja tanggungjawab sosial mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×