Kerajaan tekad perangi kartel, penyeludupan

Kerajaan tekad perangi kartel, penyeludupan

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Konvensyen Penjagaan Islam Institut Pengajian Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kerajaan tegas memerangi kartel dan penyeludupan bagi menyelamatkan bangsa dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tekad kerajaan Madani itu merupakan langkah luar biasa yang sedang dilaksanakan.

 Kata beliau, isu kartel dan penyeludupan bukan satu isu baharu tetapi sudah berlaku sejak puluhan tahun dan terbiar serta tidak dibendung dahulu kerana tidak ada upaya serta tekad politik.

“(Tekad ini bawa) risiko besar kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Semua risiko besar kerana mereka sudah begitu kuat tetapi kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.

“Langkah-langkah kita ambil itu langkah luar biasa bayangkan berpuluh tahun terbiar dan puluhan bilion ringgit hilang, ukurannya (tekad ini) pada pelaksanaannya dan usaha menyelamatkan bangsa dan negara ini,” katanya berucap di Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata, tindakan segelintir individu yang membisu dengan kejayaan agensi penguatkuasa dalam menumpaskan kartel dan penyeludupan di negara ini tidak boleh diterima.

“Kalau dengan perbicaraan di Parlimen tidak ada yang bersuara. Adalah boleh kata beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan tetapi, sebelah sana langsung tiada.

“Saya katakan terima SPRM dan polis yang menjalankan tugas selamatkan negara kita. Penyeludupan saya sebut di Parlimen, kontena masuk keluar di pelabuhan puluhan tahun dengan seludup barang masuk dan barang keluar,” katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan penubuhan Institusi Pengajian Islam untuk memperluas pendekatan pengajaran dengan menggabungkan elemen teknologi, komputer dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan graduannya lebih berdaya saing.

Jelasnya, kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi menempatkan sebahagian graduan pengajian Islam di industri yang berkaitan termasuk dalam perkhidmatan awam.

“Pendekatan multidisiplin itu penting bagi memastikan pelajar lepasan institusi berkenaan tidak hanya terhad kepada sektor agama, tetapi turut menguasai bidang baharu yang menjadi keperluan ekonomi masa depan negara.

“Harus ada satu bidang khusus yang kita anggap multidisiplin ini termasuk soal teknologi komputer atau AI yang sekarang ada, tapi saya minta untuk membolehkan kerajaan berunding dengan sektor swasta supaya sebahagiannya dijamin pekerjaan dalam kerajaan dan sebahagian lagi swasta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×