Prestasi Terbuka Malaysia jadi ukuran Sukan SEA

Prestasi Terbuka Malaysia jadi ukuran Sukan SEA

ATLET terjun negara, Nur Eilisha Rania dan Nurul Farisya Affendi melakukan terjunan acara 10 meter platform seirama wanita pada Kejohanan Terbuka Sukan Terjun Malaysia 2025 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia bulan lalu memberi isyarat jelas skuad terjun negara masih berdepan cabaran teknikal menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan depan.

Pengarah teknikal terjun negara, Yeoh Ken Nee berkata, walaupun terdapat peningkatan konsisten, beberapa aspek teknikal tertentu masih memerlukan perhatian serius.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pasukan, tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki aspek teknikal dan konsistensi yang kritikal sebelum Sukan SEA.

“Penerjun menunjukkan kemajuan yang kuat dan konsisten, walaupun masih ada beberapa aspek teknikal yang perlu diperbaiki,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Mengenai gandingan muda wanita, Ken Nee berkata Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi beraksi hampir mengikut jangkaan dan sedang membina keserasian serta keyakinan menerusi setiap pertandingan.

“Eilisha-Farisya beraksi hampir dengan jangkaan kami dan mereka sedang membina keserasian dan keyakinan yang baik menerusi setiap pertandingan,” katanya.

Bagi pasangan lelaki, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie menunjukkan peningkatan terutama dalam aspek seirama dan pelaksanaan aksi.

“Qayyum-Rui Jie juga menunjukkan peningkatan yang konsisten, terutamanya dalam keserasian dan pelaksanaan,” jelas beliau.

Sementara itu, pasangan Syafiq-Enrique pula dilihat mempunyai potensi walaupun bukan gandingan utama untuk Sukan SEA, namun boleh menjadi aset untuk Sukan Asia 2026 jika mengekalkan landasan yang betul.

“Syafiq-Enrique menunjukkan potensi walaupun bukan pasangan Sukan SEA, dan mereka mungkin berpotensi untuk Sukan Asia 2026 jika terus berada di landasan yang betul,” katanya.

Pasukan negara akan ke Korea Selatan pada 23 November bagi kem latihan intensif dua minggu di bawah bimbingan bekas pengarah teknikal terjun negara yang kini menjadi jurulatih di negara itu, Bryan Nickson Lomas untuk mengasah aspek teknikal dan keserasian.

Sejak edisi 2013 di Myanmar, skuad terjun negara menyapu bersih semua pingat emas yang ditawarkan kecuali pada Kuala Lumpur 2017 apabila pingat emas bekas ratu terjun negara, Wendy Ng bagi acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita ditarik balik akibat gagal ujian doping. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×