SHENZHEN: Perenang muda China, Yu Zidi, mencipta sejarah luar biasa apabila memecahkan rekod Asia dalam acara 200 meter rampaian individu pada kejohanan kebangsaan, hanya sebulan selepas menyambut ulang tahun ke-13.
Perenang dari wilayah Hebei itu, mencatat masa 2 minit 07.41 saat (s), sekali gus memadam rekod lama milik Ye Shiwen, yang merekodkan 2:07.57s ketika meraih pingat emas di Sukan Olimpik London 2012 pada usia 16 tahun.
Dalam perlumbaan di Shenzhen, Zidi menewaskan juara Sukan Asia 2022, Yu Yiting dengan kelebihan hampir satu saat sekali gus membuktikan kehebatannya sebagai bintang muda yang bakal menggegar arena renang dunia.
Catatan menakjubkan itu turut mengangkat Zidi ke kelompok elit dunia apabila hanya lapan perenang pernah mencatat masa lebih pantas dengan rekod dunia masih dipegang oleh Summer McIntosh dari Kanada (2:05.70s).
Bakat luar biasa Zidi mula mencuri tumpuan sejak saringan Olimpik China tahun lalu apabila hampir melayakkan diri ke Sukan Paris 2024 meskipun baru berusia 11 tahun, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah sukan renang negara itu.
Mei lalu, Zidi menjuarai acara 400m IM dan 200m kuak kupu-kupu di kejohanan kebangsaan, malah muncul naib juara 200m IM sekali gus menempah tiket ke Kejohanan Dunia di Singapura.
Pada saingan dunia itu, dia sekali lagi mencipta sejarah apabila membantu pasukan 4x200m gaya bebas wanita China meraih pingat gangsa, menjadikannya pemenang pingat termuda dalam sejarah kejohanan tersebut.
Selain itu, Zidi turut menamatkan saingan di tempat keempat dalam tiga acara individu iaitu 200m IM, 400m IM dan 200m kuak kupu-kupu, membuktikan tahap konsistensinya yang luar biasa bagi atlet seusia remaja sekolah rendah.
Kini, bintang muda itu kembali ke pentas Kejohanan Kebangsaan, berazam menambah koleksi emas apabila turun beraksi dalam saringan 200m kuak kupu-kupu, hari ini. – AGENSI/UTUSAN










