GENEVA: Wanita yang melarikan diri dari bandar al-Fashir di Sudan menjadi saksi pembunuhan, serangan seksual sistematik dan kehilangan anak selepas kawasan itu jatuh ke tangan militan Rapid Support Forces (RSF).
Kejatuhan al-Fashir pada 26 Oktober lalu mengukuhkan kawalan RSF ke atas wilayah Darfur dalam konflik selama lebih dua tahun dengan tentera Sudan.
Penduduk yang melarikan diri daripada bandar itu melaporkan melihat orang awam ditembak di jalanan dan diserang melalui serangan dron.
Pengarah Wilayah Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Women) untuk Afrika Timur dan Selatan, Anna Mutavati berkata, mangsa menyaksikan pembunuhan, rogol dan kehilangan anak-anak mereka.
Katanya, keganasan seksual dilaporkan semakin meluas di bandar itu.
“Terdapat bukti yang semakin meningkat mengenai jenayah rogol dan secara sistematik digunakan sebagai senjata perang.
“Tubuh wanita menjadi tempat kejadian jenayah di Sudan. Tiada lagi tempat selamat untuk wanita berkumpul, mendapatkan perlindungan atau bahkan akses rawatan psikososial paling asas,” katanya.
Kira-kira 11 juta wanita dan kanak-kanak perempuan menghadapi masalah kekurangan makanan di Darfur yang dilanda kebuluran, dan UN Women memberi amaran mereka juga menghadapi keganasan seksual semasa mencari makanan.
Laporan lapangan dari Darfur menceritakan bagaimana wanita terpaksa mencari daun dan beri liar untuk direbus menjadi sup.
“Ketika melakukan ini, mereka menghadapi risiko keganasan, termasuk penculikan serta serangan seksual dan berasaskan jantina,” kata Mutavati.
Menurut PBB, kira-kira 82,000 orang melarikan diri dari al-Fashir dan kawasan sekitarnya sejak 26 Oktober, manakala seramai 200,000 orang mungkin masih terperangkap di dalam bandar berdasarkan anggaran populasi menjelang penghujung pengepungan selama 18 bulan itu.- AGENSI










