MELBOURNE: Kerajaan negeri Victoria memperkenalkan undang-undang baharu yang membolehkan remaja seawal 14 tahun dibicarakan di mahkmah seperti pesalah dewasa dan berdepan hukuman penjara seumur hidup bagi kes jenayah serius.
Langkah itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Jacinta Allan, pada Rabu dan mengikuti pendekatan sama yang dilaksanakan di Queensland tahun lalu.
Rancangan tersebut mencetuskan kecaman daripada kumpulan advokasi hak asasi manusia dan Orang Asli, yang menyifatkan tindakan itu terlalu keras terhadap remaja.
“Kami memperkenalkan Adult Time for Violent Crime untuk menentang jenayah ganas dalam kalangan remaja,” lapor media tempatan.
Bekas pengerusi bahagian undang-undang jenayah Institut Undang-Undang Victoria, Mel Walker menyifatkan cadangan itu sebagai dasar tidak masuk akal dan buruk.
“Sebagai masyarakat, adakah kita rela menangani kanak-kanak dengan cara begini? Dan pada masa depan, apabila mereka terkesan akibat dimasukkan ke dalam tahanan dewasa, adakah kita bersedia menanggung impaknya?,” kata Walker kepada ABC Radio Melbourne.
Beliau menambah, kebanyakan kanak-kanak yang dibawa ke mahkamah pernah mengalami keganasan di rumah, menjadi mangsa keganasan, atau dijaga oleh perkhidmatan perlindungan kanak-kanak tanpa mendapat sokongan keluarga yang mencukupi.
“Ramai kanak-kanak ini berasa tidak diterima dalam masyarakat, dan perasaan itu mendorong mereka terlibat dalam jenayah.
“Namun, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir secara mendalam tentang akibat tindakan mereka kerana otak mereka masih belum berkembang sepenuhnya,” kata pakar.
Ketua pembangkang Victoria, Brad Battin, pula menegaskan kerajaan tidak mempunyai kredibiliti dan rakyat tidak boleh mempercayainya untuk menunaikan janji.
“Pengumuman hari ini hanya untuk menarik perhatian media tanpa pelan jelas untuk dilaksanakan,” kata Battin.
Victoria kini bergelut peningkatan kadar jenayah, dengan kes meningkat 15.7 peratus sehingga pertengahan 2025, didorong oleh kes kecurian, pecah rumah dan pesalah remaja berulang.
Seramai 1,100 remaja berumur antara 10 hingga 17 tahun ditangkap sebanyak 7,000 kali, menurut statistik jenayah terkini, ketika polis Victoria menyatakan kanak-kanak semakin cepat terlibat dalam keganasan ekstrem.- AGENSI











