PETALING JAYA: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melakar sejarah sebagai hospital pengajar pertama di Malaysia memperkenalkan perkhidmatan intervensi kecemasan bersepadu, AngioPRIME.
PPUM dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan yang mula beroperasi sepenuhnya pada 1 November lalu, menyatukan pakar pelbagai disiplin bagi menangani kes kritikal secara pantas dan berkesan.
Katanya, AngioPRIME direka untuk menangani kes strok, serangan jantung, trauma vaskular dan pendarahan dalaman melalui koordinasi pakar secara segera di satu lokasi tanpa perlu memindahkan pesakit antara jabatan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses perawatan tetapi turut meningkatkan kadar pemulihan pesakit dengan lebih baik.
“Selaras dengan kepakaran yang dimiliki PPUM serta penawaran perkhidmatan AngioPRIME ini, ia dilihat sejajar dengan misi institusi untuk menjadi pusat rujukan nasional dalam perkhidmatan intervensi kecemasan dan rawatan strok.
“Ia juga melambangkan komitmen PPUM dalam usaha memperkukuh perkhidmatan rawatan kecemasan dan meningkatkan peluang kepada pesakit untuk pulih,” katanya dalam kenyataan itu.
AngioPRIME merupakan singkatan bagi Percutaneous Rapid Intervention for Medical Emergencies yang diwujudkan hasil kerjasama Pasukan Interventional Radiology (IR), Unit Makmal Kardiologi dan Unit Vaskular.
Dengan kos mencecah RM19 juta, AngioPRIME turut dilengkapi dua sistem angiografi berteknologi tinggi seperti Mesin Angiografi ARTIS icono Biplane IR Pro.
Tambah kenyataan itu, kelengkapan berteknologi tinggi AngioPRIME mempercepatkan diagnosis dan prosedur intervensi bagi kes strok dan neurovaskular, menyokong konsep “Time is Brain” serta memastikan rawatan lebih selamat dengan dos radiasi rendah.
Katanya, selain manfaat klinikal, ia juga menjadi platform pengajaran dan penyelidikan bagi melahirkan lebih ramai pakar intervensi dengan rakaman digital untuk latihan masa nyata dan berpotensi menjadi model rujukan.
“Dengan pelancaran AngioPRIME, PPUM menegaskan komitmennya untuk terus memacu transformasi perkhidmatan kesihatan negara melalui pendekatan teknologi tinggi, kepakaran tempatan dan penyelidikan berimpak tinggi.
“Perkhidmatan ini membuktikan kemampuan PPUM untuk menerajui inovasi penjagaan
kesihatan serta membuka ruang kerjasama kepada institusi kesihatan lain di Malaysia dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN








