PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperkukuh langkah ke arah mencapai status Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2030 dengan pelancaran Pelan Tindakan Bangunan Rendah Karbon Petaling Jaya 2025-2035.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pelaksanaan pelan tersebut merupakan satu lagi langkah strategik MBPJ dalam mempertingkat kecekapan tenaga bangunan selain memperkukuh daya tahan bandar terhadap perubahan iklim yang semakin mencabar.
Menurutnya, MBPJ juga menyokong aspirasi negara untuk mencapai pengurangan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 selaras dengan sasaran nasional.
“Di peringkat tempatan, kami sendiri menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 33 peratus menjelang 2030.
“Kami mahu memastikan Petaling Jaya muncul sebagai peneraju bandar rendah karbon yang mampan, pintar dan berdaya saing.
“Kejayaan ini hanya dapat dicapai melalui kolaborasi erat antara agensi kerajaan, rakan strategik serta sokongan padu komuniti setempat,” katanya sempena majlis peluncuran pelan tindakan berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Zahri, di bawah pelan itu, seramai 300 peserta terdiri daripada tenaga kerja dan pemegang taruh telah dilatih dalam program pembangunan insan dan audit tenaga bagi meningkatkan kecekapan tenaga di 11 bangunan MBPJ.
“Langkah ini berjaya menjimatkan kira-kira 1.3 juta kilowatt sejam tenaga setahun. Selain itu, sistem pemantauan tenaga dalam talian juga telah dipasang di 14 bangunan MBPJ,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat lima sub-kriteria utama yang akan digunakan melalui pendekatan Program Pengurusan Tenaga Lestari bagi membolehkan bandar raya itu meningkatkan kecekapan tenaga secara sistematik dan terancang.
Katanya, pelan berkenaan turut menekankan pematuhan Piawaian Malaysia Standard (MS):1525 serta pelaksanaan inisiatif Tenaga Boleh Baharu (TBB) bagi menyokong matlamat rendah karbon negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak tahun 2016, MBPJ telah melaksanakan pengurusan tenaga di bangunan Ibu Pejabat MBPJ dengan bimbingan SIRIM Berhad.
“Hasil kejayaan projek perintis itu membawa kepada kerjasama strategik bersama Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia pada tahun 2018 hingga 2023 bagi memperkukuh lagi amalan tenaga lestari.-UTUSAN










