KUALA TERENGGANU: Jumlah penyertaan golongan bujang, duda, janda dan balu dalam Portal Jodoh Darul Iman hampir empat kali ganda melepasi sasaran awal seramai 500 orang sejak dilancarkan pada 6 Ogos lalu.
Sehingga 16 September lepas, jumlah pendaftar keseluruhan adalah seramai 2,048 orang, berjaya mendaftar penuh (1,550 orang) orang dan dalam penilaian semula 498 orang.
Status berminat atau perjumpaan kali pertama melibatkan pertemuan secara fizikal dan dalam talian pula melibatkan 70 pasangan yang mana 19 pasangan berjaya, 34 pasangan tiada keserasian serta 17 pasangan dalam proses.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kewujudan portal itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi membantu rakyat negeri ini khususnya individu bujang, duda, janda dan balu mencari jodoh secara patuh syariah serta terkawal.
“Portal ini menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan iaitu hampir empat kali ganda daripada sasaran awal seramai 500 orang.
“Portal ini bukan sekadar platform mencari jodoh tetapi satu usaha memperkukuh institusi kekeluargaan da menangani isu lewat berkahwin dalam kalangan rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ridzuan bertanyakan perkembangan terkini Portal Jodoh Darul Iman yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada awal Ogos lalu. – UTUSAN










