PETALING JAYA: Penyelesaian tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilakukan melalui perbincangan dan rundingan rasional, bukannya dengan ugutan atau pendekatan konfrontasi, pertelingkahan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited menyelesaikan semua tuntutan berkaitan MA63 secara menyeluruh dan berperingkat termasuk menerusi perbincangan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Sekarang pun kita sedang berbincang. Datuk Seri Fadillah yang mengetuai jawatankuasa teknikal dan kita adakan mesyuarat bersama. Jika setuju, kita laksanakan.
“Jika belum, kita bincang semula dan undi lagi. Inilah cara kita bekerjasama, bukan untuk ‘berperang’,” katanya pada Program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Beliau berkata, pendekatan berhemah dan berunding merupakan jalan terbaik untuk memastikan hak negeri di bawah MA63 dapat dilaksanakan secara adil dan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas tuntutan hasil 40 peratus untuk Sabah, Perdana Menteri menyeru semua pihak memahami isu itu secara mendalam sebelum membuat penilaian atau desakan.
“Saya tadi (melawat) Jalan Gaya, dengar jeritan tentang hasil 40 peratus Sabah. Dengarlah dulu, fahami dulu. Memang terkandung dalam MA63, tetapi sejak tiga tahun lalu, Kerajaan Madani sudah membincangkan perkara ini secara teliti,” katanya.
Tambah Anwar, kerajaan tidak akan mengetepikan tuntutan Sabah dan Sarawak, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara dan keharmonian antara kerajaan negeri serta Persekutuan.
“Kita bukan menolak tuntutan itu, tetapi mahu melaksanakannya dengan cara yang bijaksana, berasaskan undang-undang dan semangat perpaduan negara,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menempelak segelintir bekas pemimpin yang tiba-tiba muncul sebagai hero menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sedangkan ketika berkuasa dahulu mereka gagal menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
Anwar berkata, menuding jari kepada kerajaan hari ini kononnya tidak memperjuangkan hak rakyat dan negeri hanya memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab mereka serta cuba menangguk di air keruh menjelang pilihan raya.
“Kita kena nilai dengan cerdik dan pintar, kalau tidak kita jadi mangsa. Tambahan pula ini musim PRN Sabah, waktu untuk bertempur, semua jadi hero-hero belaka.
“Kalau betul hero, di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi menteri dan penguasa? Mengapa hal-hal yang kamu sebut sekarang tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya.
Anwar berkata, perjuangan sebenar bukan sekadar menimbulkan sentimen kaum atau agama, sebaliknya menuntut nilai kepemimpinan berasaskan amanah, akhlak dan tanggungjawab.
“Sekarang ada pula yang tiba-tiba melaungkan ‘hak rakyat, hak negeri’. Masa ada kuasa, ke mana hak itu?,” soalnya.
Tambah Perdana Menteri, kekayaan dan hasil negara tidak sepatutnya berlegar hanya dalam kalangan segelintir elit, sebaliknya mesti dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Katanya, kerajaan Persekutuan komited membangunkan Sabah tanpa mengira perbezaan politik dengan menyalurkan peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negara.
“Dalam Belanjawan 2026, Sabah menerima RM6.9 bilion, satu peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negara, termasuk pemberian khas interim RM600 juta seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Anwar turut menyeru rakyat Sabah menilai keikhlasan dan rekod pemimpin berdasarkan tindakan dan pencapaian sebenar, bukan sekadar janji manis ketika musim pilihan raya. – UTUSAN










