BAGHDAD: Ahli pasukan keselamatan Iraq dan penduduk yang dipindahkan secara dalaman mengundi lebih awal pada Ahad menjelang pilihan raya Parlimen yang akan datang.
Pusat mengundi dibuka pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) bagi 1.3 juta anggota tentera daripada lebih 21 juta pengundi layak dan mereka akan dikerahkan untuk tujuan keselamatan pada hari pilihan raya, menurut Agensi Berita Negara Iraq.
Lebih 26,500 penduduk yang dipindahkan secara dalaman juga layak untuk mengundi lebih awal.
Pilihan raya pada 11 November ini akan menjadi yang keenam sejak pencerobohan Iraq dipimpin AS pada 2003 selepas menggulingkan bekas pemimpinnya, Saddam Hussein.
Lebih 7,740 calon, hampir sepertiga daripadanya wanita, bertanding untuk 329 kerusi Parlimen.
Undang-undang lama yang dipulihkan oleh Parlimen pada 2023 akan digunakan dalam pilihan raya ini dan ramai melihatnya memihak kepada parti-parti besar.
Walaupun kira-kira 70 calon bebas memenangi kerusi pada 2021, hanya 75 calon bebas akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.
Pemerhati bimbang kehadiran pengundi mungkin turun di bawah rekod rendah 41 peratus pada 2021, mencerminkan sikap tidak berminat dan skeptikal pengundi di negara yang dicemari kepimpinan tegar, salah urus dan rasuah yang berleluasa.
Pemimpin Syiah berpengaruh, Moqtada Sadr menggesa penyokongnya untuk memboikot apa yang beliau gambarkan sebagai ‘pilihan raya cacat’.
Sejak pencerobohan yang dipimpin AS, majoriti Syiah Iraq menguasai politik negara.
Tokoh Syiah berpengaruh termasuk bekas Perdana Menteri, Nuri al-Maliki dan ulama, Ammar al-Hakim akan memainkan peranan utama dalam pilihan raya ini, bersama beberapa kumpulan bersenjata pro-Iran.
Perdana Menteri semasa, Mohammed Shia al-Sudani yang dipilih pada 2022 dengan sokongan parti pro-Iran, sedang berusaha untuk penggal kedua dan dijangka memperoleh blok kerusi yang besar.
Mengikut konvensyen di Iraq pasca-pencerobohan, seorang Muslim Syiah memegang jawatan Perdana Menteri yang berkuasa, seorang Sunni menjadi Speaker Parlimen, manakala jawatan presiden yang bersifat seremonial, diberikan kepada seorang Kurdi.
Perdana Menteri yang seterusnya akan dipilih oleh gabungan mana-mana pihak yang dapat merundingkan sekutu untuk menjadi blok Parlimen terbesar.-AFP











