Lebam di tubuh badan, berat badan turun berterusan antara gejala dialami Najha Johari sebelum disahkan menghidap Leukimia Myeloid Kronik (CML) iaitu sejenis kanser darah yang bermula di sumsum tulang dan menjejaskan sel darah putih.
Ibu dan juga eksekutif insurans ini berkata, perjalanan CML dialaminya bermula hampir 10 tahun lalu dengan simptom yang samar tetapi cukup membimbangkan.
“Saya hilang 10 kilogram hanya dalam masa dua bulan dan merasa sangat letih. Malah pernah sekali saya tertidur di dalam kereta ketika berhenti di lampu isyarat kerana keletihan melampau.
“Segalanya berubah ketika saya sedang bermain dengan anak, tiba-tiba saya sesak nafas dan menyedari bahagian abdomen terasa keras.
“Saya menjalani pemeriksaan perubatan dan mendapati benda keras itu adalah limpa yang membesar. Ujian darah dan biopsi sumsum tulang mengesahkan ia adalah CM,” katanya.
Menurutnya, dia sangat takut apabila mendapat tahu keputusan diagnosis itu. Emosinya turut terjejas.
Dia turut mendapatkan pandangan kedua, namun hanya dalam tempoh beberapa jam, kiraan sel darah putihnya meningkat dengan mendadak, daripada 268,000 kepada 280,000 sel bagi setiap mikroliter darah, iaitu lebih 25 kali ganda daripada julat normal.
“Doktor memberitahu jika saya menangguhkan rawatan walaupun sehari, boleh meningkatkan risiko mengalami strok. Itulah detik menyedarkan saya betapa bahaya penyakit ini. Namun ketakutan itu tidak menghalang saya untuk terus berjuang.
“Selepas saya terima kenyataan, saya terus bersedia memulakan rawatan. Saya selalu berharap satu hari nanti tak perlu makan ubat setiap hari. Mahu hidup lebih bebas, biar saya kawal penyakit, bukan penyakit yang kawal kehidupan saya,” katanya.
Kata Najha, dia mengambil tablet ubat pada pukul 6 pagi dan 6 petang, berpuasa sekurang-kurangnya dua jam sebelum itu. Jadual pemakanannya disusun dengan teliti supaya tetap boleh makan malam bersama keluarga tanpa menjejaskan rawatan.
Najha berkata, rawatan sememangnya memberi kelegaan tetapi ada cabaran yang tidak boleh diabaikan.
Pada mulanya dia mengalami sakit tulang, kulit kusam dan keguguran rambut. Lama-kelamaan keadaan bertambah baik, namun pengalaman itu membuatkannya semakin tekad untuk bebas daripada rawatan satu hari nanti.
Hari ini, hampir sedekad kemudian, ketabahannya mula membuahkan hasil. Keputusan ujiannya kini stabil selama lebih dua tahun dan kini dimasukkan ke dalam senarai menunggu Remisi Tanpa Rawatan (TFR) di hospital kerajaan.
Mencapai TFR bermaksud pesakit perlu melalui tahap rawatan yang signifikan seperti Major Molecular Response (MMR) dan Deep Molecular Response (DMR) terlebih dahulu. Walaupun begitu, pemantauan berkala tetap amat diperlukan.
Di Malaysia, terdapat antara 300 hingga 400 kes baharu CML dilaporkan setiap tahun walaupun angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ada kes yang tidak direkodkan, terutamanya membabitkan pesakit yang sudah berusia.
Pakar Hematologi dan Transplan, Datuk Dr. Chang Kian Meng, berkata, kebanyakan pesakit terkejut dengan keputusan diagnosis yang diterima dan majoriti pesakit sukar mempercayainya apabila dimaklumkan bahawa mereka menghidap CML.

“Mereka yang kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala pasti sukar menerima hakikat menghidap CML. Persoalan seterusnya yang seringkali timbul adalah sama ada mereka sendiri menjadi punca atau jika keadaan ini boleh dicegah.
“Hakikatnya, selain pendedahan kepada dos radiasi yang tinggi, punca sebenar mengapa sebahagian individu menghidap penyakit ini manakala masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Katanya, walaupun namanya kedengaran menakutkan, realiti rawatan kini jauh lebih menjanjikan.
Prospek pesakit CML hari ini amat memberangsangkan. Rawatan membolehkan pesakit hidup 20 tahun atau lebih berbanding beberapa dekad lalu, apabila purata jangka hayat hanya tiga hingga empat tahun.
Dr. Chang Kian Meng berkata, rawatan CML kini banyak bergantung kepada Tyrosine Kinase Inhibitors (TKIs), iaitu ubat khusus yang menyasarkan sel kanser dan digunakan di seluruh dunia sejak lebih 20 tahun lalu yang terbukti berkesan.
“Terdapat beberapa jenis TKI, masing-masing dengan kelebihan dan kesan sampingan tersendiri. Pemilihan ubat yang sesuai bergantung pada banyak faktor seperti umur pesakit, tahap kesihatan keseluruhan dan penyakit lain yang mungkin ada.
“Sama pentingnya adalah mematuhi jadual rawatan di mana waktu pengambilan ubat amatlah penting, malah ada kalanya pesakit perlu menyesuaikan waktu makan bagi memastikan ubat diambil secara teratur,” katanya.
Katanya, bagi pesakit seperti Najha, matlamat utama adalah apa yang dirujuk oleh doktor sebagai TFR), Ia adalah satu tahap di mana mereka boleh menghentikan pengambilan ubat harian dengan selamat, namun penyakit masih kekal terkawal.
Pesakit memainkan peranan aktif, kepatuhan terhadap rawatan, mengemukakan soalan yang tepat serta memahami tahap pencapaian rawatan adalah kunci kepada kawalan penyakit jangka panjang dan peluang untuk mencapai TFR.
Ini membolehkan pesakit menjalani kehidupan dengan lebih bebas, tanpa peringatan berterusan terhadap pil dan pada masa yang sama doctor akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap kesihatan mereka.
“Remisi Tanpa Rawatan tidak bermaksud penyakit ini sudah sembuh. Ia bermakna pesakit mencapai keputusan ujian darah yang stabil dan konsisten rendah sekurang-kurangnya selama tiga tahun, mungkin boleh berhenti mengambil ubat harian.
“Namun begitu, ia tetap memerlukan pemantauan jangka panjang dan komitmen berterusan.
“Pada masa kini, kira-kira 50 peratus pesakit CML berjaya mencapai tahap membolehkan mereka mencuba TFR, suatu kemungkinan yang tidak pernah dibayangkan dua dekad lalu,” katanya. – UTUSAN










