Asia Tenggara perlu percepatkan peralihan tenaga hijau

Asia Tenggara perlu percepatkan peralihan tenaga hijau

FRANCESCO LA CAMERA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rantau Asia Tenggara kini menjadi kawasan penting dalam usaha global mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera berkata, permintaan elektrik dan tenaga dijangka meningkat mendadak di rantau ini, menjadikannya kawasan strategik dalam agenda tenaga global.

Beliau berkata, kebergantungan Asia Tenggara kepada arang batu masih tinggi oleh itu peralihan kepada tenaga hijau perlu dipercepatkan melalui pelaburan infrastruktur serta pembangunan rangkaian tenaga serantau.

“IRENA baru melancarkan inisiatif khas di Singapura bagi mengukuhkan sambungan tenaga rentas sempadan. 

“Namun, usaha ini perlu diperluas ke seluruh rantau agar manfaatnya dapat dinikmati bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, tenaga kerja serantau juga perlu dilatih semula bagi memenuhi keperluan sektor tenaga baharu termasuk projek tenaga angin luar pesisir yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja mahir tempatan.

Pada masa sama, beliau menegaskan pasaran tenaga perlu direka bentuk bagi kontrak jangka panjang untuk memberi keyakinan kepada pelabur.

“Institusi kewangan antarabangsa perlu memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan grid serantau yang kukuh dan seimbang,” katanya.

Mengulas mengenai teknologi masa depan, beliau berkata gabungan tenaga suria, angin dan hidro perlu diperkukuh manakala hidrogen hijau dan penyimpanan tenaga bakal menjadi pemacu utama dekarbonisasi industri berat.

Beliau turut menjelaskan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) akan meningkatkan kecekapan pengurusan grid serta memastikan peralihan tenaga berjalan secara inklusif dan adil untuk semua lapisan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×