PETALING JAYA: Polis menahan enam lelaki warga India bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki pemastautin tetap warga India, 49, di tangga rumah kedai kawasan Pusat Bandar Puchong dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, tangkapan enam lelaki terbabit yang juga rakan serumah suspek utama dilakukan bagi membantu siasatan.
“Kita juga sudah mengenal pasti suspek utama iaitu seorang lelaki warga India.
“Setakat ini, empat saksi termasuk pengadu kes ini sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Farid berkata, mangsa bekerja sendiri sebagai juruteknik dan sudah menetap di negara ini selama 19 tahun.
Jelasnya, pihak polis sudah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan maut disyaki dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di Puchong Jaya di sini.
Mangsa ditemukan kira-kira 8.30 malam sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
Anggota dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama seekor anjing pengesan juga berada di lokasi untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa bekerja di negara ini dan menyewa bilik di rumah kedai berkenaan. -UTUSAN










