KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memperkukuh pelaksanaan kuota satu peratus pengambilan pekerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) di sektor awam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran itu masih belum dicapai dan menjelaskan bahawa kuota berkenaan bukan hanya tanggungjawab kementeriannya, tetapi juga komitmen bersama kerajaan.
“KPWKM telah berbincang dengan JPA untuk mengemas kini data supaya jelas bahawa sasaran satu peratus pengambilan OKU masih belum direalisasikan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan meneliti model pentadbiran luar negara dalam usaha menubuhkan jabatan khusus bagi OKU serta strategi memastikan sasaran pengambilan sekurang-kurangnya satu peratus dicapai.
Nancy berkata, kementeriannya kini hampir mencapai kadar pengambilan OKU sebanyak dua peratus, lebih tinggi berbanding kadar semasa dalam sektor awam yang masih rendah.
Menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN–Temerloh), Nancy berkata KPWKM bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh peranan dan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.
“Kita juga mempunyai Majlis Kebangsaan bagi OKU yang berfungsi mengenal pasti keperluan sebenar golongan ini agar masyarakat lebih memahami dan menghormati hak mereka,” katanya.
Mengenai insentif kepada OKU, Nancy menjelaskan bentuk bantuan kewangan yang disediakan bergantung kepada kementerian atau agensi terlibat.
“Sebagai contoh, katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyediakan kemudahan perjalanan percuma termasuk perkhidmatan bas dan tren kepada golongan OKU,” katanya. – UTUSAN










