Mah Sing ambil alih tanah di Semenyih bernilai RM273.5j - Utusan Malaysia

Mah Sing ambil alih tanah di Semenyih bernilai RM273.5j

MAH Sing Group Berhad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 111.29 hektar yang terletak bersebelahan dengan projek bandar raya sedia ada seluas 202.34 hektar, M Legasi di Semenyih dengan nilai kira-kira RM273.5 juta.

Menurut kenyataannya, tanah yang baru diperoleh ini akan membuka laluan kepada pembangunan M Legasi 2, sebuah bandar raya bersepadu yang menampilkan gabungan hartanah kediaman dan lot kedai bagi memenuhi keperluan pembeli rumah moden yang semakin berkembang.

Katanya, kira-kira 70.82 hektar daripada tanah tersebut akan diperuntukkan untuk pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM1.7 bilion, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Baki 40.47 hektar lagi akan dimanfaatkan untuk kerjasama strategik dengan rakan institusi, industri atau komuniti bagi memperkenalkan ekosistem dan pemacu permintaan yang mampu meningkatkan daya tarikan serta nilai jangka panjang bandar raya berkenaan.

“Pendekatan bagi pembangunan baki tanah ini akan dimuktamadkan selepas proses pemerolehan dan perancangan induk terperinci selesai dan Kumpulan akan membuat pendedahan yang diperlukan selaras dengan keperluan pendedahan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama,” katanya.

Mah Sing berkata, pihaknya telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Petaling Garden Sdn Bhd, anak syarikat S P Setia Berhad bagi pemerolehan tanah berkenaan.

Jelasnya, projek M Legasi 2 dijangka dibangunkan dalam tempoh lapan tahun, dengan pendaftaran minat dijadualkan bermula pada 2026 dan pembinaan dijangka dimulakan pada 2027.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pemerolehan ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Mah Sing dan mencerminkan keyakinan syarikat terhadap koridor Semenyih sebagai kawasan pertumbuhan pesat.

“Selepas pelancaran M Legasi yang berjaya empat bulan lalu, kami kini teruja untuk memperluaskan kehadiran kami di kawasan ini.

“Kedudukan tanah baharu yang bersebelahan M Legasi membolehkan kami menambah baik pelan induk bagi memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah serta menawarkan pilihan kediaman dan kemudahan yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Tambah beliau, pemerolehan ini merupakan tanah ketiga bagi tahun ini, menunjukkan pendekatan proaktif Mah Sing dalam mendapatkan simpanan tanah strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan kukuh.

“Kelebihan utama tanah ini ialah infrastruktur sedia ada yang meningkatkan kebolehcapaian dan mengurangkan masa pembangunan.

“M Legasi 2 akan meneruskan kejayaan projek bandar kami seperti M Legasi, M Senyum, M Aruna, M Panora dan M Residence di Rawang, Southville City di Bangi serta Meridin East di Johor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×