Apabila masuk ke hutan, jarang kita dapat melihat harimau atau gajah tetapi kita mungkin mendengar nyanyian indah orang utan kecil atau ungka.
Nyanyian berkenaan bertujuan untuk melindungi kawasan mereka di dalam hutan.
Inilah antara ciri-ciri ikonik ungka yang ditemui oleh Pegawai Penyelidik Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Aini Hasanah Abd. Mutalib ketika menjalankan kajian di hutan Borneo dan Semenanjung Malaysia bagi memelihara warisan biodiversiti negara.
Katanya, Malaysia sangat bertuah kerana memiliki diversiti 26 spesis primat seperti Raffles banded langur yang hanya boleh ditemui di Malaysia and Singapura saja manakala orang utan boleh ditemui di Kepulauan Borneo.
“Ungka termasuk tiga spesies di Semenanjung dan dua di Timur Malaysia yang kesemuanya disenaraikan terancam oleh Senarai Merah IUCN dan perlu diberikan perhatian.
“Kesemua primat ini mempunyai fungsi sebagai ‘jurutera hutan’. Hidupan ini adalah agen penyebaran benih yang sangat penting dan tiada galang ganti. Secara tidak langsung menumbuhkan pokok buah-buahan yang menyokong keseluruhan ekosistem,” katanya.
Aini Hasanah berkata, seperti hidupan liar lain, orang utan dan ungka diancam oleh penebangan hutan atau degradasi hutan sebagai habitat utama.
Ungka dan Siamang bergantung kepada pokok untuk makanan dan sebagai rumah mereka.
Justeru, aktiviti manusia harus mempertimbangkan habitat dan fungsi ekologi yang mungkin menjejaskan ekosistem jika dinamiknya terganggu.
Wanita yang memulakan kerjaya penyelidikan pemuliharaan penyu laut di Setiu, Terengganu ini berkata, terdapat juga isu penyeludupan hidupan liar yang berakar umbi daripada kepentingan manusia kepada dan menjadikan hidupan ini sebagai haiwan peliharaan.
“Kadangkala, kita cenderung memberi makan hidupan liar. Ini yang mengubah tingkah laku dan mendedahkan hidupan ini kepada kawasan manusia. Primat sering dilihat sebagai perosak terutamanya apabila ia di luar kawalan kita.
“Biasanya ini berlaku apabila manusia mengamalkan salah laku seperti memberi makan, membelai atau mengambil gambar dalam jarak yang dekat.
“Kami berpendapat memberi makan sebenarnya akan mengubah tingkah laku hidupan liar, menjadikan ia lebih bergantung terhadap manusia. Lebih menyedihkan ia akan dibuang apabila tidak lagi dilihat comel,” katanya.

Geran Anugerah Merdeka
Komitmen dan kesungguhan Aini Hasanah dalam memastikan hidupan liar terus kekal demi ekosistem negara, melayakkan beliau menerima geran Amanah Anugerah Merdeka yang ditubuhkan pada 2007.
Geran itu dibiayai oleh Petronas dan Shell untuk mengiktiraf dan menghargai individu serta organisasi cemerlang, di mana hasil karya dan pencapaian bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara tetapi juga menginspirasi kecemerlangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebagai penerima geran, beliau ditempatkan di Cornell University, Amerika Syarikat.
Pengalaman di sana membolehkannya menyertai pengkaji di K Lisa Yang Center of Conservation Bioacoustics (CCB), Lab of Ornithology, universiti sama.
“Saya merasakan peluang ke Cornell sesuatu yang berharga dan bersyukur dengan peluang mengenali penyelidik lain.
“Mereka sangat membantu dan kerjasama kami masih diteruskan hingga kini menerusi program latihan Bioacoustics, Equipment and Training (BEAT) dan Locally led East Asian Flyway for Acoustics (LEAFA),” katanya.
Kewibawaan beliau terserlah apabila bekerjasama dengan pengkaji di CCB, menguruskan Symposium Indonesia Malaysia for BioAcoustics (SIMBA).
“Saya menjalani teknik analisa data menggunakan perisian yang dicipta di CCB di samping belajar teknik pengurusan data dan penyimpanan maklumat.
“Di sana, saya juga dapat menikmati pengalaman di lapangan. Makmal CCB juga dikelilingi habitat. Burung yang menarik, mengingatkan saya kepada stesen penyelidikan UMT di Kenyir dan potensi penyelidikan serta pemuliharaan habitatnya,” katanya.
Rakam bunyi alam semula jadi
Kajian bioakustik merupakan pendekatan yang semakin popular dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, terutamanya dalam kajian ekosistem hutan.
Teknik ini membabitkan penggunaan alat perakam bunyi untuk merekodkan pelbagai bunyi semula jadi yang berlaku dalam alam sekitar seperti haiwan, tumbuhan atau fenomena alam lain seperti cuaca.
“Ini memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang kehidupan yang ada di dalam ekosistem berkenaan, terutama di kawasan yang sukar diakses atau di mana penglihatan terhad.
Misalnya, hutan yang padat dengan kanopi.
“Dalam hal ini, deria pendengaran menjadi sangat penting. Melalui rakaman bunyi, kita dapat mendengar kehidupan yang ada di sekeliling tanpa perlu melihatnya secara langsung,” katanya.
Salah satu kelebihan utama perakam bunyi berbanding perangkap kamera adalah kemampuannya untuk merakam bunyi dalam radius yang lebih luas.
Perangkap kamera biasanya memerlukan lokasi tertentu dan memfokuskan pada objek atau pergerakan dalam bidang penglihatan tertentu, manakala perakam bunyi dapat menangkap suara dari kawasan yang lebih besar, memberikan data yang lebih banyak dan beragam.
Berbanding kaedah lain yang mungkin mengganggu habitat semula jadi, perakam bunyi adalah teknik yang tidak invasif.
Alat ini berfungsi secara autonomi dan tidak mengganggu atau mengubah tingkah laku spesies yang dikaji.
Sebagai contoh, haiwan seperti burung, mamalia atau serangga yang sering terpengaruh dengan kehadiran manusia tidak akan terganggu oleh perakam bunyi.
Dengan perkembangan teknologi, data bunyi yang direkodkan boleh dianalisis lebih mendalam menggunakan teknik seperti machine learning.
Katanya, machine learning dapat mengesan pola bunyi yang mungkin tidak mudah didengar oleh manusia atau memahami hubungan kompleks dalam data bunyi tersebut.
“Bunyi yang direkodkan boleh memberi petunjuk tentang kehadiran atau kelakuan spesis tertentu.
“Selain itu, perubahan dalam pola bunyi boleh menunjukkan perubahan dalam persekitaran, seperti kerosakan habitat atau kehadiran spesies invasif,” katanya.
Kajian bunyi juga boleh membantu menilai kepelbagaian biologi kawasan kerana setiap spesies mempunyai ‘suara’ atau frekuensi bunyi yang unik.
Burung hijrah
Tambahnya, kajian melalui bioakustik membolehkannya mengetahui dan mengenali taburan hidupan liar seperti ungka dan burung hijrah di negara ini.
Kepentingan kesinambungan kawasan habitat hutan juga penting dalam memastikan pergerakan hidupan liar lebih selamat.
“Kajian ini menarik kerana kita dapat mempelajari pelakuan dan taburan hidupan dalam tempoh yang lebih lama.
“Kadangkala saintis tidak dapat melakukan pemerhatian berterusan di lapangan keranan kekangan wang dan kekurangan pembantu,” katanya.
Dalam masa sama, Dr. Aini Hasanah turut menguruskan program latihan bioakustik dan bercita- cita untuk meluaskan lagi penyelidikan bersama di UMT.-UTUSAN











