KUALA LUMPUR: Rangkaian kedai gunting rambut terkemuka, Nimroc Barbershop melancarkan cawangannya yang ke-20, sekali gus menandakan kejayaan 16 tahun syarikat itu dalam industri dandanan lelaki.
Ketua Pegawai Eksekutif Nimroc Holdings Sdn. Bhd., Ardy Damis berkata, pencapaian tersebut menjadi penanda aras kepada hala tuju syarikat dalam usaha memperkukuh jenama dan memperluas pasaran ke seluruh negara.
“Untuk sampai ke cawangan ke-20 ini, cita-cita itu telah kami bina sejak cawangan pertama lagi. Ia menjadi peringatan bahawa kami berada di landasan yang betul.
“Jika kita boleh capai 20 cawangan, tidak mustahil untuk buka 30, 40 dan seterusnya mencapai 100 cawangan menjelang 2030,” katanya selepas majlis pelancaran cawangan terbaharu Nimroc di The Campus, Ampang baru-baru ini.
Ardy berkata, selain pengembangan rangkaian, syarikat turut memberi tumpuan kepada pembangunan Nimroc Academy bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang gunting rambut.
Katanya, akademi tersebut akan diperluas ke utara dan selatan tanah air dalam masa terdekat bagi menyediakan latihan dan bimbingan kepada generasi baharu tukang gunting yang ingin menjadikan bidang itu sebagai kerjaya profesional.
“Matlamat kami bukan sekadar membuka lebih banyak cawangan, tetapi memastikan industri ini berkembang secara mampan dengan tenaga kerja yang terlatih dan berdaya saing.
“Kami mahu melahirkan lebih ramai usahawan gunting rambut tempatan melalui akademi ini,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, Ardy mengakui industri gunting rambut turut berdepan isu kekurangan tenaga mahir dan kos operasi yang meningkat, namun pihaknya berpegang pada prinsip melatih serta membangunkan bakat secara dalaman sebagai strategi jangka panjang.
“Cabaran utama kami ialah mengekalkan kualiti dan disiplin kerja dalam skala besar. Tetapi dengan latihan berterusan dan budaya kerja pasukan yang kuat, kami percaya jenama ini akan terus berkembang kukuh,” katanya.
Tambahnya, Nimroc turut mencatat jualan tertinggi mencecah RM1 juta dalam sebulan tahun ini, hasil strategi pemasaran digital dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan dandanan profesional.
“Syarikat juga sedang membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan, memilih tukang gunting dan menikmati pelbagai kemudahan interaktif,” katanya.
Diasaskan oleh Ardy pada 2009, Nimroc bermula sebagai sebuah kedai kecil di bawah khemah di Pasar Malam Downtown Cheras sebelum berkembang menjadi jenama nasional dengan reputasi sebagai hab gaya hidup lelaki.
Dengan slogan ‘Where styles are shaped, friendships are made’, Nimroc kini bukan sekadar rangkaian kedai gunting rambut, tetapi juga platform membina komuniti dan budaya profesional dalam industri dandanan lelaki di Malaysia. – UTUSAN










