CCTV di sekolah bukan sekadar pantau

CCTV di sekolah bukan sekadar pantau

HAKIKATNYA, CCTV hanyalah satu komponen dalam ekosistem keselamatan dan pendidikan yang lebih luas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH Kementerian Pendidikan memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan keselamatan pelajar berada pada tahap tertinggi dan mencegah kejadian tidak diingini.

CCTV berperanan penting sebagai “mata tambahan” dalam memantau pergerakan pelajar dan mengesan tingkah laku mencurigakan. Ia boleh mencegah kejadian tertentu serta menjadi bahan bukti yang kukuh sekiranya berlaku insiden.

Oleh itu, setiap pemasangan CCTV perlu disertai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, telus dan beretika.

Mekanisme laporan dalaman di sekolah juga perlu diperkukuh. Ramai pelajar enggan melapor kejadian kerana takut stigma, ancaman balas atau rasa tidak yakin terhadap sistem sekolah. Maka, saluran aduan selamat seperti talian kaunseling rahsia, platform laporan anonim dan penglibatan kaunselor luar wajar diwujudkan bagi memastikan suara mangsa didengari tanpa rasa takut.

Apabila pelajar didapati bersalah, tindakan disiplin pula perlu diimbangi dengan pendekatan pemulihan dan intervensi psikologi. Hukuman tanpa pemulihan tidak akan menyentuh akar masalah. Mangsa juga memerlukan perlindungan dan sokongan berterusan agar mampu pulih secara emosional dan sosial.

Hakikatnya, CCTV hanyalah satu komponen dalam ekosistem keselamatan dan pendidikan yang lebih luas. Ia perlu disokong oleh penglibatan ibu bapa, latihan pengurusan konflik kepada guru dan dasar pendidikan yang menekankan kesejahteraan mental serta nilai moral pelajar.

Kita tidak boleh meletakkan beban penyelesaian masalah kepada teknologi semata-mata. Generasi muda hari ini hidup dalam dunia digital yang sarat tekanan dan kekeliruan identiti. Mereka memerlukan bimbingan, empati dan panduan moral, bukan sekadar pengawasan.

Pelaburan paling penting bukan pada jumlah kamera yang dipasang di sekolah, tetapi pada usaha membina manusia yang tahu membezakan antara betul dan salah, walaupun tiada siapa yang sedang memerhati. Itulah amanah sebenar dalam membentuk generasi yang beradab dan berjiwa sihat. – UTUSAN

DR. NUUR ALIFAH ROSLAN
Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×