Kerajaan Kedah didesak teliti semula cukai taksiran

Kerajaan Kedah didesak teliti semula cukai taksiran

ASMIRUL ANUAR ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) didesak untuk meneliti semula kenaikan cukai taksiran yang mendadak kerana akan memberi kesan sangat besar kepada masyarakat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, kenaikan setinggi itu adalah tidak munasabah dan sudah tentu akan menambah beban kewangan rakyat.

“Isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana akan semakin terbeban oleh peningkatan kos sara hidup manakala peniaga serta industri tempatan akan menghadapi kenaikan kos operasi yang boleh menjejaskan daya saing mereka.

“Kesan berantai ini juga berpotensi memperlahankan aktiviti ekonomi bandar dengan risiko pengalihan perniagaan ke kawasan lain yang menawarkan kadar cukai lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia tentang kegelisahan warga Alor Setar susulan menerima ‘surat putih’ daripada MBAS yang memaklumkan kadar cukai taksiran baharu berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Bagaimanapun, pemilik kediaman dan pemegang hartanah komersial masih berpeluang membuat bantahan kepada MBAS sehingga 5 November ini.

Sementara itu, Asmirul yang juga bekas Exco Kedah berkata, kerajaan negeri berkuasa penuh untuk menangguh, menyemak semula atau mengurangkan kadar cukai itu demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Mengikut Seksyen 127, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), hanya dengan kelulusan Kerajaan Negeri Kedah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dibenarkan melaksanakan kutipan cukai.

“Sehubungan itu, Amanah Kedah dengan tegas menggesa Menteri Besar, Exco Kerajaan Tempatan dan MBAS untuk meneliti semula kenaikan ini dengan sikap berhemah, bertimbang rasa dan penuh kemanusiaan,” ujarnya.

Beliau berkata, keputusan yang diambil hendaklah sentiasa memihak kepada kemampuan rakyat dan mengambil kira situasi sosio-ekonomi semasa yang sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×