PETALING JAYA: Seramai 12,500 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor akan menerima vaksin influenza secara percuma bermula minggu hadapan bagi meningkatkan perlindungan kesihatan kanak-kanak berisiko.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pelaksanaan program itu melibatkan peruntukan RM1 juta dan memberi tumpuan kepada empat daerah mencatatkan kes influenza tertinggi iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak pentadbiran sekolah dan pusat khidmat masyarakat bagi memastikan kelancaran program outreach (bantuan).
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan kanak-kanak B40 menerima perlindungan imunisasi optimum sekali gus mengurangkan risiko penularan jangkitan influenza dalam komuniti.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyarankan murid berusia lapan tahun dan ke bawah menerima dua dos vaksin influenza kecuali mereka yang pernah mendapatkan vaksin tersebut sebelum ini.
“Langkah ini penting untuk memastikan perlindungan optimum terhadap kanak-kanak berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, program itu dilaksanakan melalui dua kaedah termasuk kunjungan ke sekolah melibatkan sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memberi suntikan kepada kira-kira 4,720 murid bawah lapan tahun daripada golongan B40.
Katanya, setiap murid turut akan menerima risalah maklumat serta kod QR untuk membolehkan ibu bapa mendaftar melalui aplikasi SELangkah.
“Kaedah kedua adalah secara ‘walk-in’ di klinik Selcare dan klinik panel terpilih bagi kanak-kanak B40 yang mempunyai komorbid tetapi tidak bersekolah di institusi dengan PPKI.
“Ibu bapa perlu mendaftar dan mengesahkan status melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir ke klinik,” katanya.
Jamaliah berkata, kerajaan negeri kekal komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah terus terpelihara.
“Program vaksinasi influenza ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga B40, tetapi juga berperanan penting dalam meningkatkan tahap kesihatan dan kehadiran anak-anak ke sekolah,” katanya. – UTUSAN









