=SHAH ALAM: Hasrat cinta yang tidak kesampaian cetus trauma kepada seorang pelajar perempuan tingkatan satu apabila dilaporkan terjatuh dari tingkat satu sebuah sekolah menengah di sini, semalam.
Kejadian yang mengejutkan warga sekolah itu berlaku apabila mangsa dikatakan mengalami kemurungan selepas putus cinta dengan teman lelakinya, seorang pelajar tingkatan dua di sekolah sama.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa mengalami luka di dahi serta kaki namun kini dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tekanan emosi yang dialami mangsa selepas hubungan cintanya berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN










