SELEPAS berita kematian pelakon lagenda, Diane Keaton, pada 11 Oktober lalu, rakaman lama ketika beliau menghadiri pertunjukan fesyen Ralph Lauren pada 2022 kembali tular di media sosial.
Kebiasaannya suasana di pentas peragaan agak serius, namun pemenang Anugerah Oscar itu kelihatan sangat menikmati acara berkenaan sambil memegang segelas minuman, ketawa, bergerak mengikut rentak muzik dan bersorak kepada model di pentas.
Mengenakan blazer, topi bowler dan turtleneck, penampilan Keaton ketika itu menggambarkan dirinya yang santai, berani dan asli, jauh daripada kebiasaan selebriti yang bergantung kepada jurugaya.
Jenama terkenal Ralph Lauren dalam kenyataan di media sosial menyifatkan Keaton sebagai unik dan seorang yang ‘berjiwa’.
“Keaton sentiasa mengikut rentak dirinya sendiri, dalam cara dia hidup, melihat dunia dan membuat kita semua rasa dihargai,” menurut jenama itu.
Kejayaan Keaton di Hollywood mendahului obsesi industri fesyen terhadap penggayaan setiap penampilan selebriti.
Minat Keaton terhadap fesyen muncul lebih awal sebelum beliau terkenal.
Dalam buku meja kopinya, Fashion First, yang dikeluarkan pada 2024, beliau menceritakan sejak kecil dia sudah terpikat dengan aksesori dan pakaian buatan tangan ibunya menggunakan mesin jahit di rumah.
Menjelang kemunculannya dalam trilogi pertama The Godfather pada 1970-an, gaya peribadi Keaton sudah terserlah, unik, matang dan penuh keyakinan, sehinggakan di layar perak, batas antara dirinya dan watak yang dilakonkan hampir sukar dibezakan.
Lazimnya, gaya seseorang pelakon tidak boleh diukur melalui kostum watak. Namun bagi Keaton, gaya yang ditonjolkan dalam filem Annie Hall pada 1997 sebenarnya adalah dirinya sendiri.
Atas permintaan pengarah Woody Allen, yang membentuk watak itu berdasarkan Keaton dan hubungan mereka, beliau tampil dengan gaya yang kemudian menjadi ikonik, dengan topi besar, seluar longgar, kemeja berkolar besar serta tali leher yang terkeluar dari ves.
Penampilan yang mencabar norma pakaian wanita itu bukan sekadar fesyen watak, tetapi mencerminkan gaya asli Keaton sendiri.
PAKAIAN MAMPU ‘BERBICARA’
Pakaian yang disarungnya ketika menerima Oscar untuk filem Annie Hall juga mencerminkan gaya unik Keaton.
Blazer dua baris rekaan Armani dengan bunga anyelir merah jambu di dada, dipadankan dengan skirt berjalur di atas seluar.
Penampilannya memberi sentuhan segar kepada gaya androgini pada era ketika kebanyakan bintang hanya memilih busana malam tradisional di permaidani merah.
Namun, itu bukan sekadar gaya untuk watak. Minatnya terhadap topi bowler, seluar berlipat dan sut tuxedo kekal lama selepas zaman Annie Hall, begitu juga dengan cintanya kepada tali
pinggang besar, kaca mata tebal, sapu tangan poket dan pelbagai aksesori yang menjadikan setiap penampilannya tersendiri.
Gaya Keaton juga terus berevolusi. Sering muncul di minggu fesyen dan pertunjukan jenama terkenal, beliau sentiasa mengikut trend semasa tanpa mengorbankan gaya uniknya.
Kadangkala beliau memilih rekaan avant-garde daripada Comme des Garçons atau Thom Browne untuk bereksperimen dengan siluet dan pada masa lain tampil manis dalam gaun hitam ringkas atau skirt polka dot, membuktikan di sebalik sut maskulin, Keaton tetap memiliki sisi feminin yang memikat.
Gaya fesyen Keaton terus berkembang seiring perjalanan kariernya. Dalam filem seperti Something’s Gotta Give, beliau memperlihatkan sisi elegan seorang wanita moden berkelas, tampil anggun dalam kasmir lembut, kemeja putih segar dan seluar jean putih yang mencerminkan keyakinan serta kemewahan.
Sebagai pelakon, Keaton memahami pakaian mampu ‘berbicara’ dan menyampaikan emosi lebih kuat berbanding dialog.
Meskipun bergaya dan anggun, Keaton tidak pernah hilang sifat lucunya.
Dalam bukunya, beliau menulis satu bab khas tentang kesilapan fesyen yang pernah dibuat, termasuk sut berekor yang dipakainya pada tahun 2004 hingga tersenarai antara ‘pakaian terburuk’.
“Semakin kami menulis buku itu, semakin saya ketawa melihat semula pilihan saya.
“Memang kelakar betul. Ini sebenarnya bahagian kegemaran saya. Kalau kita tak boleh ketawa pada diri sendiri, apa maknanya hidup?,” katanya kepada Women’s Wear Daily.-UTUSAN









