Tiga dekad tegakkan keadilan syariah

Tiga dekad tegakkan keadilan syariah

MUHAMAD ABDUL KARIM WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FIGURA ini pernah mengendalikan perbicaraan melibatkan kes tuntutan mutaah (sagu hati perkahwinan) mencecah nilai RM30 juta.

Malah, kes-kes berprofil tinggi melibatkan perceraian artis ternama tanah air dan anak kepada tokoh korporat pernah dikendalikan dengan penuh bijaksana.

Pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang kehakiman syariah menjadikan Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab begitu arif dengan undang-undang syariah.

Baik dalam aspek kesalahan jenayah syariah sehingga kes mal (kekeluargaan) seperti hadanah (hak penjagaan anak), tuntutan faraid, perceraian dan poligami, semuanya tersimpan kemas dalam memori bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang ini.

Denda bagi kesalahan khalwat hanya serendah RM100, manakala kes persetubuhan haram pula serendah RM200.

Itulah realiti sistem perundangan syariah sekitar tahun 1990-an, sebagaimana dikongsi Muhamad Abdul Karim, yang pernah menjadi pendakwa syarie di negeri itu lebih tiga dekad lalu.

“Pada 1991, fi mahkamah hanya RM1. Ketika itu, hukuman terhadap pesalah khalwat hanyalah RM100. Persetubuhan haram? RM200. Saya sendiri pernah mendakwa kes sebegitu,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagaimanapun, situasi itu berubah selepas Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 diperkenalkan yang menetapkan kadar maksimum hukuman syariah ‘3-5-6’ iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Namun, siling hukuman itu dilihat terlalu rendah berbanding perkembangan semasa dan tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan.

“Ada satu artikel pernah menyebut harga sebuah telefon pintar iPhone lebih mahal daripada denda kes khalwat. Tetapi kita terikat dengan bidang kuasa sedia ada.

“Sebarang peningkatan siling hukuman memerlukan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, yang hanya boleh dibuat di peringkat Parlimen,” katanya.

BAHAGIA bersama tujuh anak, empat menantu dan lapan cucu.

KUASA PENDAKWAAN

Tambah Muhammad Abdul Karim, ramai keliru antara denda kes syariah jenayah dan denda kes sivil seperti mutaah (sagu hati selepas cerai) atau tuntutan nafkah.

Tanggungjawab besar terletak di bahu pendakwa syarie untuk mengemukakan hujah yang meyakinkan supaya pesalah dikenakan denda atau hukuman maksimum.

“Apabila kes dibawa ke mahkamah, bagaimana pendakwa membentangkan hujah dan fakta kes sangat penting. Jika tidak meyakinkan, pesalah hanya akan didenda jumlah paling minimum.

“Dalam kes sivil, contohnya tuntutan mutaah, mahkamah boleh menjatuhkan keputusan berjumlah puluhan ribu ringgit, malah saya pernah mengendalikan kes mutaah bernilai RM30 juta.

“Namun bagi kesalahan jenayah syariah seperti khalwat, cerai luar mahkamah atau poligami tanpa kebenaran, had maksimum masih 3-5-6 dan hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman melebihi had tersebut walaupun hujah pendakwa sangat kukuh,” jelasnya.

KES KELUARGA

Meskipun isu khalwat dan jenayah syariah sering mendapat perhatian awam, lebih 80 peratus kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah sebenarnya berkait hal kekeluargaan.

“Jenayah syariah hanya sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Dalam seminggu, mungkin hanya satu atau dua kes jenayah yang didaftarkan.

“Sebaliknya, kes berkaitan hadanah (penjagaan anak), nafkah, faraid, perceraian dan harta sepencarian lebih mendominasi,” katanya.

Mengulas isu poligami tanpa kebenaran, khususnya pernikahan di selatan Thailand, katanya, masih ramai yang keliru.

“Ramai anggap kalau kahwin di Thailand, balik Malaysia bayar denda dan selesai. Tetapi, prosesnya tidak semudah itu.

“Sebaik pulang, pasangan perlu mengesahkan pernikahan di Mahkamah Syariah. Jurunikah dari Thailand pula tidak boleh merentas sempadan untuk mengesahkan akad nikah itu di Malaysia,” kongsinya.

Urusan sah nikah tertakluk kepada soal saksi, lafaz ijab kabul dan keabsahan bidang kuasa jurunikah.

PETAH BERDEBAT

Sebelum bergelar hakim, anak jati Terengganu ini aktif dalam dunia perdebatan.

Semasa menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), beliau pernah menyertai pertandingan Debat Piala Perdana Menteri (PPM) pada 1983.

“Waktu itu kami johan. Rakan sepasukan saya ialah Datuk Idris Ahmad (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama). Lawan kami pula ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, mewakili Sekolah Menengah Sains Johor,” kongsinya.

Katanya, kemahiran berhujah dan mengemukakan pendapat secara rasional yang membentuk asas kuat kepada karier kehakimannya.

“Pendakwa dan peguam syarie perlu bijak berhujah, bukan hanya beremosi. Barulah sistem perundangan Islam dapat ditegakkan dengan adil dan berwibawa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×