Double perovskite beri impak besar

Double perovskite beri impak besar

BAHAN perovskit berganda membawa impak besar kepada pengguna seperti pengecas telefon tidak cepat panas, komputer riba dan televisyen lebih stabil. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah terfikir bagaimana telefon pintar mampu dicas dalam masa singkat, sambungan wifi kekal stabil atau kenderaan elektrik bergerak begitu lancar tanpa gangguan?

Di sebalik segala kemudahan moden ini, wujud satu inovasi bahan yang jarang disebut tetapi memberi kesan besar dalam kehidupan iaitu bahan perovskit berganda atau lebih dikenali sebagai double perovskite.

Secara asasnya, bahan perovskit berganda ialah bahan kristal dengan susunan atom yang boleh diubah suai. Bayangkan ia seperti struktur binaan lego pada skala atom. Apabila ‘bata-bata kecil’ ini disusun secara teratur, aliran tenaga dalam peranti menjadi lebih lancar. Kesannya, tenaga elektrik digunakan dengan lebih efisien dan kurang dibazirkan sebagai haba.

Kelebihan ini membawa impak besar yang dapat dirasai oleh pengguna biasa seperti pengecas telefon tidak cepat panas, komputer riba dan televisyen lebih stabil, kenderaan elektrik menjadi lebih responsif dan sambungan internet lebih pantas serta jelas.

Pendek kata, bahan perovskit berganda menjadikan teknologi berfungsi dengan lebih sempurna dan tahan lama.

Menariknya, kesan bahan ini tidak terhad kepada sektor industri atau penyelidik sahaja. Ia menyentuh kehidupan semua lapisan masyarakat.

Dalam konteks automotif, bahan perovskit berganda berperanan penting dalam menyalurkan tenaga dari bateri ke motor kenderaan elektrik dengan lebih lancar. Hasilnya, pemanduan menjadi lebih selesa, suhu komponen terkawal dan jarak perjalanan lebih jauh dengan sekali cas.

Dalam sistem komunikasi pula, bahan ini bertindak menapis gangguan isyarat dan hanya membenarkan data berguna dihantar. Akibatnya, panggilan video menjadi lebih jelas dan sambungan internet lebih stabil.

Di Malaysia, penyelidikan terhadap bahan ini sedang digerakkan dengan aktif di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Proses kajian dijalankan secara menyeluruh dan berperingkat, bermula daripada penghasilan bahan dalam keadaan suhu terkawal untuk memastikan struktur kristalnya seragam dan stabil, sehinggalah kepada ujian prestasi pada pelbagai frekuensi.

Kaedah seperti pembelauan sinar-X digunakan untuk menentukan susunan atom terbaik manakala mikroskop elektron berkuasa tinggi membantu mengenal pasti saiz dan kepadatan butiran bahan yang mempengaruhi pengaliran tenaga.

Hasil analisis ini membolehkan penyelidik menentukan tetapan bahan paling sesuai untuk pelbagai aplikasi daripada peranti mudah alih hingga sistem tenaga berskala besar.

UiTM bukan sahaja meneliti sifat saintifiknya tetapi juga mencari jalan supaya teknologi ini dapat dimanfaatkan secara praktikal oleh masyarakat.

Walaupun penggunaannya masih di peringkat ujian makmal, potensi bahan perovskit berganda amat besar. Penyelidik kini giat berusaha memastikan bahan ini dapat dihasilkan pada skala industri dengan kos rendah serta mesra alam.

Dengan kemajuan teknologi sintesis bahan yang lebih mampan, tidak mustahil dalam beberapa tahun lagi, bahan perovskit berganda akan menjadi komponen utama dalam peranti elektronik, sistem grid tenaga baharu dan teknologi komunikasi masa hadapan.

Selain aspek prestasi, penyelidik turut menekankan kebolehskalaan pengeluaran bagi memastikan bahan ini dapat dihasilkan dalam jumlah besar secara konsisten. Inilah langkah penting agar inovasi tidak terhenti di makmal tetapi mampu diterjemahkan kepada kegunaan sebenar di rumah, sekolah, tempat kerja dan sektor industri.

Bahan perovskit berganda bukan sekadar bahan eksperimen saintifik tetapi simbol bagaimana sains dan teknologi dapat memperbaiki kehidupan manusia secara senyap tetapi signifikan.-UTUSAN

MUHAMMAD SYAABANI MOHD. RAFIE
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×