KUALA LUMPUR: ASEAN kekal berpegang kepada prinsip berkawan dengan semua termasuk kuasa besar dunia tanpa memihak kepada mana-mana negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar itu menjadi tunjang utama ASEAN termasuk Malaysia yang sentiasa berasaskan keseimbangan dan kepentingan serantau.
Katanya, rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China bukan memihak kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya mencerminkan pendirian yang matang, seimbang dan berprinsip dalam diplomasi antarabangsa.
Katanya, rundingan perdagangan itu perlu dilihat dalam konteks diplomasi terbuka di mana Malaysia dan ASEAN kekal bebas berunding dengan semua pihak tanpa tunduk kepada tekanan.
“Ada yang bertanya mengapa kita rapat dengan China, tetapi kita juga berhubungan baik dengan Amerika Syarikat. Ada pula yang mempersoalkan sambutan kepada AS, sedangkan kita bekerjasama erat dengan Brazil dan Afrika Selatan, negara tidak disenangi Barat.
“Kita juga mempunyai hubungan baik dengan Kesatuan Eropah kerana pelaburannya penting kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar Selepas Majlis Penyerahan Kepengerusian ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Anwar berkata, setiap keputusan diplomasi dan perdagangan antarabangsa berpaksikan kepada keutamaan menjaga imej negara dan serantau bagi memelihara kepentingan ekonomi serta memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati oleh rakyat.
“Keputusan ini buat bukan memihak kepada mana-mana kuasa besar, tetapi bagi memastikan Malaysia terus dihormati dan kekal relevan sebagai pemain penting dalam rantau ini,” katanya.
Anwar berkata, pendekatan sederhana membolehkan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan bagi pelabur dan rakan dagang utama dunia.
“Itulah sebabnya kita meneruskan penganjuran sidang-sidang penting seperti ini yang membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama serantau dan global,” katanya.
Anwar memberi jaminan ia tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan China walaupun membabitkan sumber nadir bumi, semikonduktor, cip dan maritim.
“Perbincangan ini tidak menghalang kita daripada mengekalkan hubungan baik dengan China. Kita berunding, bukannya kita menyerah,” katanya.
Mengulas hubungan dengan AS, Anwar berkata, beliau sendiri mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Donald Trump bagi membincangkan beberapa perkara termasuk isu kemanusiaan.
“Bagi mereka (pembangkang), perjanjian perdagangan tersebut tidak komprehensif kerana tidak menyebut tentang Palestin.
“Komprehensif bermaksud penyelesaian menyeluruh yang menghormati pendirian dan hak rakyat Palestin,” katanya.
Menyentuh isu Myanmar, Anwar berkata, Malaysia terus bertegas dalam menangani krisis kemanusiaan dan tidak berganjak daripada Konsensus Lima Perkara (5PC).
“Saya sendiri telah bertemu secara dengan pemimpin-pemimpin Myanmar di Bangkok dan Beijing, selain berbincang bersama rakan sejawat lain.
“Ini menunjukkan kesungguhan kita mengekalkan hubungan baik tetapi tanpa mengabaikan prinsip,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, keberanian Malaysia bersuara mempertahankan rakyat Palestin bukan dilakukan di jalanan, tetapi di meja rundingan tertinggi dunia termasuk ketika bertemu Trump.
“Kita berbincang hati ke hati, empat mata, hanya saya dan Presiden Trump. Jangan lupa, kita boleh menjerit di sini, tetapi orang sedang mati di Gaza, dibunuh, dibom,” katanya.
Katanya, diplomasi berkesan bukan diukur melalui kecaman, sebaliknya keupayaan berunding dan mendesak perubahan secara berhemah.
“Marah kepada Amerika, maki Israel, semua itu sudah. Tetapi ini peluang kita berjumpa sendiri. Sekurang-kurangnya dengan Kapten America sendiri, kita berjaya hentikan serangan dan melarang pendudukan di tebing barat,” katanya. – UTUSAN









