Jangan tunduk kepada kuasa luar

Jangan tunduk kepada kuasa luar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Li Qiang (dua, kiri) dan pemimpin ASEAN melihat Proton Saga serba baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: China menyeru ASEAN bersatu dan tidak tunduk dengan tekanan kuasa luar dan amalan perlindungan perdagangan yang menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, keadaan itu me­nimbulkan risiko dan cabaran lebih besar terhadap pembangunan bersama dalam negara serantau.

“Jika kita berpecah dalam menghadapi politik kuasa besar dan ‘pembulian ekonomi’, kita bukan sahaja tidak akan memperoleh sebarang manfaat, bahkan berisiko untuk dikawal dan dikuasai kuasa luar.

“Semakin genting keadaan dunia, semakin penting bagi kita untuk bersatu dan memperkukuh kekuatan sendiri.

“Kita mesti mempertahankan kepentingan melalui tindakan bersama yang bersepadu dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama saling menguntungkan,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Katanya lagi, campur tangan kuasa luar di rantau ini semakin meningkat, malah beberapa negara dikenakan tarif yang tidak adil dan sekatan perdagangan yang membebankan.

Justeru, jelas Li Qiang, ASEAN perlu mempertahankan ke­pentingan melalui tindakan ber­sama yang bersepadu, dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama sa­ling menguntungkan.

“China bersedia untuk terus berganding bahu dengan ASEAN mengukuhkan perpaduan, menangkis gangguan luar, dan bersama-sama menghadapi ca­baran global,” katanya.

Beliau pada masa sama me­rakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia atas penganjuran sidang kemuncak yang disifatkan ‘berwibawa dan teratur’, serta me­nyatakan komitmen China untuk terus menjadi rakan pembangunan jangka panjang ASEAN.

Ucapan itu bertepatan de­ngan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Dunia Kedua menentang fasisme, yang di­sambut China pada September lalu dengan kehadiran beberapa pemimpin ASEAN.

Pada ketika itu, Li Qiang berkata, China dan negara-negara ASEAN tidak tunduk kepada kekejaman, sebaliknya berjuang bekerjasama sehingga mencapai kebebasan dan kemerdekaan.

Perdana Menteri China itu turut mengimbas selepas era pe­perangan, kedua-dua pihak terus berkembang bersama dan saling membantu dalam pembangunan ekonomi, menghadapi krisis kewangan Asia, bencana alam dan pandemik Covid-19.

“Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Xi Jinping semasa lawatan beliau ke Asia Tenggara pada April tahun ini, ‘kesatuan membawa kekuatan dan kerjasama membawa kemenangan bersama.’

“China dan negara-negara ASEAN ialah jiran yang saling menghormati, memahami, bergantung dan mempercayai. Selagi kita bersatu dan memperkukuh kekuatan sendiri, kita mampu mencipta tenaga luar biasa dan menewaskan segala kesukaran yang mendatang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×