Patuh perintah lockdown atau dipenjara - Utusan Malaysia

Patuh perintah lockdown atau dipenjara

Perlis memberi amaran jangan `berani-berani' masuk Perlis menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat perlu mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang bermula semalam dan sebarang pengingkaran boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, di bawah Seksyen 10 akta berkenaan dan Seksyen 11 (3) (c) boleh digunakan untuk mencegah dan mengawal penularan penyakit berjangkit Covid-19.

Dalam peruntukan itu, setiap individu perlu mengambil tanggungjawab membendung penularan di bawah seksyen yang dinyatakan peraturan-peraturannya itu.

DI bawah Seksyen 11 (3) (c), mana-mana pegawai yang diberi kuasa boleh mengarahkan individu yang tinggal dalam kawasan tempat jangkitan mengenakan apa-apa langkah perlu untuk mengawal penyakit itu.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah akta ini, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau didenda atau kedua-duanya,” katanya di sini semalam.

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula semalam.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian sudah mencecah lebih 9,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Menurut Adham, individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000 manakala syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama, pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Jelas beliau, kadar kompaun baharu itu berkuat kuasa 11 Mac lalu mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Terdapat 10 peruntukan merangkumi lima pindaan peruntukan sedia ada dalam Akta 342 dan lima peruntukan baharu dimasukkan ke dalam Ordinan Darurat itu.

Ia melibatkan pindaan bagi Akta 342 membabitkan Seksyen 2 (1) – Tafsiran pegawai diberi kuasa; Seksyen 2(1) – Tafsiran Pegawai Kesihatan Persekitaran; Seksyen 10 – Kehendak supaya memberitahu tentang penyakit berjangkit; Seksyen 15A – Perintah bagi memakai peranti pengesanan dan Seksyen 21A – Arahan Ketua Pengarah.

Bagi peruntukan baharu di bawah Ordinan Darurat termasuk Bahagian IVA Penguatkuasaan; Seksyen 22A – Kesalahan oleh pertubuhan perbadanan; Seksyen 24 – Penalti am; Seksyen 25 – Pengkompaunan kesalahan dan Seksyen 31 – Kuasa membuat peraturan-peraturan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×