SUKSIS UM perkukuh jaringan antarabangsa di Korea Selatan

SUKSIS UM perkukuh jaringan antarabangsa di Korea Selatan

ZAMRI Radzi bersama pelatih-pelatih Kor SUKSIS UM dan KNPU semasa mengikuti SUKSIS International Educational Visit (SIEV) 2025 di Asan, Korea Selatan, baru-baru ini. - UTUSAN/AZWA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 18 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaya (UM) berpeluang mengikuti program SUKSIS International Educational Visit (SIEV) 2025 di Asan, Korea Selatan, baru-baru ini sebagai usaha memperkukuh jaringan antarabangsa universiti itu.

Program pertukaran pelajar jangka pendek yang berlangsung dari 21 hingga 28 September lalu itu turut disertai oleh tiga pegawai kehormat UM yang diadakan di kampus baharu Korean National Police University (KNPU).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM merangkap Komandan Kor SUKSIS, Profesor Dr. Zamri Radzi berkata, penyertaan pelajar dalam SIEV 2025 membuktikan keupayaan UM memperkukuh pembangunan kepimpinan belia dan keselamatan global.

“Program SIEV 2025 membuka ruang luas kepada pelatih Kor SUKSIS UM untuk merasai sendiri pengalaman latihan kepolisan moden di peringkat antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Universiti Malaya sebagai rakan strategik global.

Zamri berkata, penganjuran program itu juga merupakan kesinambungan daripada lawatan hormat KNPU dan Korean National Police Agency (KNPA) ke UM sebelum ini, sekali gus memperkukuh hubungan strategik serta akademik antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi tersebut.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelatih SUKSIS tentang sistem pendidikan, budaya dan amalan kepolisan moden Korea Selatan untuk diaplikasikan dalam konteks Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan program berkenaan membuktikan kemampuan Kor SUKSIS UM bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita mahu memastikan mahasiswa UM terus tampil sebagai duta kecil negara yang mampu mengharumkan nama Malaysia, bukan sahaja sebagai penuntut universiti, malah sebagai generasi pemimpin masa depan yang berwibawa,” ujarnya.

Sepanjang program, para pelatih mengikuti pelbagai aktiviti termasuk latihan seni mempertahankan diri Taekwondo, simulasi helikopter dan menembak, lawatan ke Police Human Resource Development (HRD) Institute serta penyertaan dalam Cheongram Academic Festival bersama pelajar kadet KNPU.

Kejayaan SIEV 2025 turut disusuli dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) baharu antara UM dan KNPU bagi memperkukuh program pertukaran pelajar akan datang sekaligus menandakan langkah penting ke arah kerjasama akademik dan keselamatan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×