KUALA LUMPUR: Semangat pantang menyerah menjadi senjata utama skuad ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan kejuaraan hatrik Piala Agong 2025 selepas mencipta kebangkitan dramatik menundukkan Johor 18-17 dalam aksi final di UM Arena, semalam.
Jurulatih PDRM, Dinesvaran Krishnan berkata, kekuatan mental dan keyakinan pemain untuk terus berjuang hingga ke wisel penamat menjadi penentu kemenangan pasukannya kali ini.
“Saya sentiasa tekankan kepada pemain supaya jangan sesekali mengangkat bendera putih selagi permainan belum tamat.
“Dalam tiga minit terakhir, mereka berjaya ubah keputusan yang pada awalnya nampak sukar,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Menurutnya, situasi getir itu bukan kali pertama dihadapi sebaliknya, pengalaman lalu membentuk ketahanan mental luar biasa dalam kalangan pemain.
“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk ketika menentang Kelantan, kami juga pernah ketinggalan. Dari situ, saya bentuk perlahan-lahan semangat daya tahan mereka. Bila situasi sama berlaku, pemain tahu mereka masih boleh bangkit,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu juga berkata, faktor pengalaman mengharungi tekanan menjadi tunjang kekuatan pasukan untuk kekal fokus dan percaya pada kemampuan sendiri biarpun masa perlawanan hampir tamat.
“Saya selalu ingatkan mereka, ‘kita pernah lalui perkara ini.’ Jadi bila ketinggalan, mereka tidak panik. Tiga minit terakhir pun, mereka masih yakin boleh ubah keputusan dan itulah bezanya pasukan ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, pengurusan PDRM berhasrat memperkukuh skuad dengan merekrut lebih ramai pemain muda yang berminat menyertai pasukan beruniform itu sebagai anggota polis.
“Saya lihat ini peluang baik untuk anak muda bukan sahaja bermain ragbi di peringkat tertinggi, tetapi juga berkhidmat kepada negara. Diharap kemenangan ini jadi pemangkin kepada minat mereka,” katanya. – UTUSAN










