Isu lebih muatan: Kerajaan tidak tunduk tekanan industri

Isu lebih muatan: Kerajaan tidak tunduk tekanan industri

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan tunduk terhadap tekanan mahupun bantahan daripada mana-mana pihak industri berhubung keputusan meminda undang-undang pengangkutan jalan raya yang bakal membolehkan pemilik barangan turut dikenakan hukuman sekiranya didapati terlibat dalam kes kenderaan berat membawa muatan berlebihan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sedar keputusan ber­kenaan me­nerima pelbagai bantahan dan amaran daripada pihak berkepentingan, namun langkah tersebut dibuat demi keselamatan rakyat serta integriti sistem pengangkutan negara.

“Masalahnya, mereka sudah terlalu lama mengambil kesempatan daripada kelemahan pe­nguatkuasaan dan bertahun-tahun membiarkan lori membawa muatan berlebihan. Sekarang bila kita kuatkuasakan undang-undang, mereka bantah pula.

“Apa pilihan kita ada? Jika tunduk, lebih baik kita tutup mata sahaja dan biar keadaan terus membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Syahredzan Johan (PH – Bangi) bahawa beliau terbaca kenyataan daripada persatuan-persatuan pembinaan termasuk Master Builder Associations Malaysia yang mendakwa tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kesalahan lebih muatan menyebabkan peningkatan kos operasi kerana perlu menambah jumlah perjalanan.

Menurut Loke, punca sebenar isu lebih muatan bukan terletak pada pemandu semata-mata, sebaliknya bermula di kilang, kuari atau gudang yang menetapkan jumlah barangan melebihi had undang-undang.

Pendedahan Utusan Malaysia pada 25 September lalu turut membongkar taktik sesetengah pemilik barangan yang menentukan berat muatan tanpa menghiraukan had dibenarkan, malah wartawan akhbar ini yang menyamar sebagai kelindan lori mendapati prosedur operasi di tapak pengisian dikawal sepenuhnya oleh pihak pemilik barangan.

Mengulas lanjut, Loke menegaskan, beliau lebih mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya berbanding keuntungan pi­hak industri.

“Nyawa manusia jauh lebih penting daripada kos tambahan yang mereka dakwa itu. Saya tidak akan berunding dengan pihak yang tahu mereka bersalah tetapi masih mahu menekan kerajaan.

“Lupakan saja, penguatkuasaan tetap diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, Loke memaklumkan kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan tindakan turut dikenakan terhadap pemilik barangan bagi membendung amalan membawa muatan berlebihan yang sering menjadi punca kemalangan maut serta kerosakan jalan raya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×