Perjanjian dagangan baharu Malaysia-AS jejas hubungan China

Perjanjian dagangan baharu Malaysia-AS jejas hubungan China

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian dagangan baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 didakwa berpotensi menjejaskan hubungan ekonomi negara dengan China yang merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia ketika ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa klausa dalam perjanjian itu disifatkan berat sebelah dan boleh memaksa Malaysia berpihak kepada Washington dalam pertikaian perdagangan global.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja menggugat dasar berkecuali Malaysia, malah mampu menjejaskan keyakinan pelabur asing yang selama ini melihat negara ini sebagai rakan dagangan neutral di rantau Asia Tenggara.

Tambah beliau, antara perkara paling merugikan ialah kewujudan Artikel 5.1 yang menetapkan Malaysia perlu mengikut sekatan atau larangan dagangan AS terhadap mana-mana negara lain.

“Jika Washington memutuskan untuk menyekat import dari China atau Russia, Malaysia mesti mengambil langkah sama walaupun tindakan itu boleh menjejaskan ekonomi kita sendiri.

“Klausa ini memaksa Malaysia terlibat dalam konflik orang lain dan menghancurkan dasar berkecuali yang selama ini menjadi kekuatan kita.

“Dengan menyelaraskan da­sar Malaysia kepada keputusan AS, perjanjian ini be­risiko menakutkan pelabur yang menghargai peranan Malaysia sebagai rakan dagangan neutral dan stabil di rantau ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Artikel tersebut turut mene­tapkan bahawa Malaysia perlu bertindak terhadap mana-mana syarikat milik atau dikawal negara lain yang beroperasi di sini, sekiranya syarikat berke­naan didapati menjejaskan eksport AS.

Peruntukan berkenaan dipercayai menyasarkan China, yang sebelum ini dituduh oleh Presi­den AS, Donald Trump, sebagai punca kepada kemerosotan ekonomi negaranya.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah RM484 bilion, de­ngan RM187.67 bilion daripadanya eksport Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pematuhan terhadap dasar perdagangan AS hanya sebahagian daripada komitmen berat yang perlu ditanggung Malaysia di bawah perjanjian tersebut yang turut melibatkan kebenaran eksport nadir bumi ke AS tanpa sekatan.

“Sebagai balasan, AS me­ngekalkan kadar tarif timbal balik sebanyak 19 peratus, namun beberapa produk se­perti semikonduktor diberikan pengecuali­an cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×