KUALA SELANGOR: Seorang pelajar tingkatan tiga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap rakan perempuan sekelasnya dekat sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, dua minggu lalu.
Pengakuan demikian dibuat pelajar terbabit selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, remaja berusia 15 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap rakannya dengan cara menyentuh payudara dan memasukkan jari telunjuk ke dalam kemaluan mangsa bagi maksud seksual.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan dalam sebuah kelas di sekolah berkenaan, kira-kira pukul 9.30 pagi pada 13 Oktober lalu. Justeru, anak bongsu daripada tiga beradik itu dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, pelajar terbabit boleh didenda, dikenakan pampasan atau kos, perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah yang dikhaskan seperti Sekolah Henry Gurney.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan mengambil kira faktor keseriusan kes melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Namun, peguam Aina Suraya Ahmad Nor Hisham yang mewakili tertuduh merayu pengurangan kerana anak guamnya itu perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital akibat kemalangan jalan raya.
“Dia (anak guam) sebelum ini mengalami kecederaan patah kaki dan pendarahan di otak. Bapanya pula bekerja sebagai petani dengan berpendapatan hanya RM500 sebulan,” katanya.
Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam kemudian membenarkan pelajar terbabit diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Disember depan. – UTUSAN










