Dua tahun lalu saya tewas di sini kerana terlalu menunggu - Alex

Dua tahun lalu saya tewas di sini kerana terlalu menunggu – Alex

Pelumba BK8 Gresini Racing, Alex Marquez (tengah) meraikan kemenangan tempat pertama bersama krew pasukannya pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Alex Marquez menjadikan pengalaman lalu untuk tidak mengulangi kesilapan sama apabila membuktikan dirinya bergelar juara dalam kelas MotoGP pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, dekat sini, semalam.

Marquez yang mewakili pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP itu mencatat masa terpantas 40 minit 09.249 saat (s) untuk mengungguli perlumbaan 20 pusingan tersebut.

Adik kepada juara dunia, Marc Marquez itu hanya pernah muncul sebagai naib juara pada GP Malaysia 2023 (MotoGP) serta 2019 (Moto2) dan kehampaan itu akhirnya berjaya ditebus bagi edisi kali ini dalam keadaan cuaca baik semalam.

“Dua tahun lalu saya tewas di sini kerana terlalu menunggu. Hari ini, saya tidak ulang kesilapan sama.

“Hari ini, strategi kami sangat tepat, itulah kunci kemenangan kami, saya buat keputusan tepat untuk menyerang pada masa yang sesuai,” katanya selepas perlumbaan.

Pelumba kelahiran Sepanyol tersebut turut menyifatkan kejayaannya itu sebagai sesuatu yang beremosi selepas terpaksa mengharungi minggu yang sukar terutama pada Jumaat selepas jentera banyak menghadirkan masalah.

Katanya, kemenangan itu amat penting untuk pasukannya kerana ia memberi suntikan keyakinan kepada pelumba yang beraksi dalam kelas Moto2 pula.

“Saya berdoa dan fikiran saya tertumpu kepada barisan pelumba Moto2. Masih ada rasa tidak sedap hati dalam perut. Kami hanya mampu berharap yang terbaik buat mereka,” katanya yang telahpun disahkan lebih awal sebagai naib juara bagi musim 2025 selepas berada di tangga kedua dalam acara pecut, kelmarin.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik pelumba Sepanyol, Pedro Acosta dari pasukan Red Bull KTM Factory Racing selepas melakar masa terpantas 40:11.925s, manakala, pelumba Honda HRC Castrol, Joan Mir melengkapkan aksinya di kedudukan ketiga dengan catatan masa 40:17.297s.

Malang menimpa juara edisi lalu, pelumba Ducati Lenovo Team, Francesca Bagnaia atau lebih mesra dengan panggilan Pecco setelah gagal menamatkan perlumbaan selepas jenteranya berdepan isu teknikal ketika berada di hujung saingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×