Majlis Keselamatan PBB gagal berfungsi hentikan peperangan - Presiden Brazil

Majlis Keselamatan PBB gagal berfungsi hentikan peperangan – Presiden Brazil

LUIZ Inacio Lula Da Silva bersalaman dengan Anwar Ibrahim selepas sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula Da Silva menyelar institusi antarabangsa seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya terutama dalam menghentikan peperangan.

Beliau menegaskan, banyak peperangan yang berlaku dimulakan oleh negara-negara yang menjadi anggota majlis itu sendiri, tanpa perundingan atau kelulusan global.

“Bagaimana kita boleh berdiam diri melihat perang di Ukraine yang berlarutan, atau penderitaan berpanjangan di Gaza?
Keganasan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal.

“Apabila kita menerima kekejaman sebagai kebiasaan, kita telah kehilangan sifat kemanusiaan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi Lula Da Silva ke Malaysia, di sini hari ini.

Lula Da Silva berkata, tindakan sama turut berlaku apabila dunia gagal bertindak dalam menangani isu perubahan iklim walaupun semua tahu apa yang sedang memusnahkan planet ini.

Beliau menegaskan, dunia masih kekurangan sistem tadbir urus global yang berkesan dalam menangani isu global ini yang amat diperlukan oleh Malaysia, Brazil dan seluruh umat manusia.

Katanya, perjanjian Kyoto tidak dilaksanakan sepenuhnya, dan ramai yang tidak menghormati Perjanjian Paris.

“Sebab itu, saya mahu Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 30) di Brazil nanti menjadi platform untuk menilai sama ada kita percaya pada amaran saintifik tentang masa depan bumi.

“Krisis iklim memberi kesan paling teruk kepada golongan miskin, penduduk kampung kecil, mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar, yang menjadi mangsa ribut, banjir, dan taufan.

“Kita, para pemimpin dunia, mesti bertindak bukan hanya untuk negara masing-masing, tetapi untuk planet ini secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap penyertaan Brazil dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi permulaan baik hubungan Malaysia dan Brazil dalam memperkukuhkan kerjasama pelbagai bidang.

Katanya, Malaysia boleh menawarkan teknologi kepada Brazil, dan Brazil juga boleh berkongsi kepakarannya dengan Malaysia melalui keazaman dan kepercayaan antara satu sama lain.

“Hari ini kami menandatangani beberapa perjanjian penting, dan saya akan pulang ke Brazil dengan keyakinan baharu.

“Sudah 30 tahun tiada Presiden Brazil melawat Malaysia, sesuatu yang sukar dipercayai, memandangkan Malaysia telah lama menjadi contoh pertumbuhan dan pembangunan yang mengagumkan di mata dunia.

“Jika Malaysia boleh berjaya, dan Brazil masih tertinggal, itu bermakna ada sesuatu yang salah- sama ada dalam dasar kerajaan, tingkah laku masyarakat, atau tanggungjawab para pemimpin dan usahawan,” katanya.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Lula da Silva ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan bagi penggal baharu pada Januari 2023, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Pada lawatan ini, beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pembangunan
Antarabangsa dan Selatan Global oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Lawatan ini mencerminkan hubungan rapat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Brazil,
berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama, serta aspirasi bersama untuk
memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan demi manfaat bersama kedua-dua negara.

Pada tahun 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM20.36 bilion (AS$4.46 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Brazil merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, minyak sawit, getah, peranti perubatan serta farmaseutikal halal, manakala import dari Brazil terdiri daripada bijih logam dan sekerap logam, makanan terproses, produk petroleum dan petroleum mentah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×